| Universiti Putra Malaysia

Menteri Mentor UPM cetus pemikiran generasi Y memodenkan pertanian

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Mohd Izrul Jabar


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pelajar baharu sesi 2013/2014 UPM


SERDANG, 4 Sept (UPM) – Pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah didedahkan dengan kebaikan menceburkan diri dalam sektor pertanian sempena satu program dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Program yang digelar Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Mentor diadakan sempena Minggu Perkasa Putra Pelajar Baharu Semester Pertama sesi 2013/2014.

Dato’ Sri Ismail dalam ucapannya berkata program bersama pelajar baharu dapat membantu mencetuskan pemikiran generasi Y dalam memberi idea baru yang kreatif untuk memodenkan sektor pertanian negara.

“UPM yang penubuhannya berpaksikan pertanian merupakan sebuah institusi terpenting negara dalam melahirkan tenaga penggerak dalam membangunkan sektor pertanian negara.



Namun, persepsi terhadap pertanian masih lagi dikaitkan dengan kemiskinan, tidak moden, hanya aktiviti luar bandar, pilihan terakhir kerjaya dan sebagainya merupakan halangan utama dalam menjadikan sektor pertanian tidak dapat berdaya saing dengan sektor lain,” katanya.

Beliau juga berkata daripada isu krisis makanan pada tahun 2008, sektor ini menjadi amat penting dan relevan kerana pertanian berkait rapat dengan bahan makan.

Oleh itu pendekatan membangunkan sektor pertanian negara merupakan tanggungjawab besar yang memerlukan sokongan seluruh rakyat dalam memastikan agenda pengeluaran bahan makanan negara mencukupi dan selamat dimakan.

Sektor Pertanian dilihat sebagai ‘Agriculture is Science’ atau pertanian adalah sains yang perlu seiring dengan teknologi dan inovasi kerana ianya merupakan elemen penting dalam menjadikan sektor pertanian suatu sektor yang moden.



Beliau turut menegaskan pelajar perlu menukar ‘mind set’ yang hanya melihat bahawa pemegang ijazah pertanian sahaja layak terlibat dalam sektor pertanian.

“Setiap rantaian sektor pertanian ada jurusan-jurusan lain juga terlibat dalam memastikan sektor pertanian berdaya maju.

“Jurusan Kejuruteraan ada kaitan dengan pertanian. Begitu juga dengan Jurusan Bioteknologi, Kewangan dan Perniagaan, ICT malah graduan Jurusan Undang-Undang juga boleh terlibat dalam pertanian.

“Ini bermakna jurusan yang dipilih oleh pelajar baharu UPM boleh memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pertanian negara,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan terdapat segelitir golongan belia yang berminat tetapi berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan tanah pertanian dan sumber kewangan untuk menceburkan diri.

Justeru, menurut beliau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha menggubal satu dasar yang memfokus kepada golongan muda dengan menyediakan persekitaran yang baik untuk mereka menyertai sektor  pertanian.

“Pihak kementerian akan menyediakan pakej bersepadu yang dapat membantu golongan muda yang terlibat dalam sektor pertanian iaitu modal atau pembiayaan, ilmu kemahiran pertanian, kursus dan juga pemasaran.

“Pakej seperti ini amat perlu dalam memastikan golongan muda yang terlibat dapat menjamin pendapatan dan masa depan mereka dan memilih pertanian sebagai satu kerjaya yang menguntungkan,” katanya.

Menurut Dato’ Sri Ismail, statistik Lembaga Pertubuhan Peladang sehingga Disember tahun lalu menunjukkan sebanyak 45 peratus daripada 826,163 ahli Pertubuhan Peladang berusia 60 tahun ke atas.

Hanya 15 peratus atau 123,925 ahli terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, tambahnya. – UPM

- smz/kgo


SXETKAe~