| Universiti Putra Malaysia

Masalah pendengaran tak halang capai PhD

Oleh: Ngo Zhen Hong
Pelajar Bacelor Pengajian Pengguna, FEM 

SERDANG, 9 Jan – Masalah pendengaran yang dialami menyukarkan Dr Irma Izani Mohamad Isa, namun tidak mematahkan semangat beliau yang terus cekal menuntut ilmu sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Pengajian Genetik Manusia.

Katanya, ia menjadi satu cabaran baginya tetapi beliau bersikap optimis, tabah dan redha dengan keadaan dirinya itu.

Dr Irma Izani, 36, berkata beliau berdepan kesulitan ketika sesi pembelajarannya di Universiti College Dublin, Ireland kerana masalah pendengaran mengakibatkan beliau tidak dapat mendengar kuliah.

“Ini menyebabkan saya perlu mempelajari semua nota kuliah sendiri ketika di rumah. Alhamdulillah, pihak universiti memberi bantuan dan sokongan termasuk dalam menggunakan ‘transmitter’ untuk saya mendengar sesi kuliah,” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Perdana, berkata beliau mula berdepan masalah pendengaran semasa di sekolah menengah, pada usia 16 tahun.

“Saya mendapati kesukaran pendengaran pada usia itu. Ketika ibu saya memanggil, saya tidak dengar,” katanya.

Beliau berkata, pelajar terutamanya yang mempunyai masalah kurang keupayaan perlu berani meminta bantuan orang lain kerana jika tidak, orang tidak akan mengetahui bahawa anda memerlukan bantuan mereka.

“Meminta bantuan bukan merupakan satu kelemahan OKU. Ini untuk membantu  untuk mereka agar mampu dan dapat menjalankan kehidupan seperti orang lain,” katanya. 

“Keluarga dan suami saya adalah penyokong terbesar bagi saya. Keluarga merupakan pemberi sokongan rohani yang besar bagi saya. Sikap saling membantu dan memberi motivasi adalah kunci membolehkan saya bergraduat di peringkat Ph.D.,” katanya.

Beliau berkongsi tips pembelajaran dalam mencapai Ph.D dengan menasihatkan mahasiswa untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan sendiri agar dapat menambah baik kekurangan  dan membuat lebih baik pada masa akan datang. 

Dr Irma berhasrat untuk menjadi motivator untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang ke arah memperkasakan peluang golongan OKU dan untuk membentuk pemikiran di kalangan OKU bahawa kekurangan fizikal diri bukan penghalang mencapai kejayaan dalam kehidupan. - UPM

WXDcVAx~