| Universiti Putra Malaysia

Malaysia berpotensi jadi pusat rujukan terapi hutan di Asia Tenggara

Malaysia berpotensi menjadi pusat rujukan terapi hutan kerana kajian pertama berkaitan terapi hutan dijalankan oleh penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ia juga telah menarik minat ramai penyelidik serta pengamal kesihatan untuk merujuk dan mendapatkan informasi daripada UPM. 

Mereka mahu mengetahui bagaimana untuk menjalankan terapi hutan mengikut kesesuaian dan fasiliti sedia ada di negara mereka.

Penyelidik UPM telah menjalankan ujikaji keberkesanan terapi hutan terhadap golongan pelajar dan wanita berumur serta bekerjaya. Hasil dapatan kajian menunjukkan peningkatan tahap pengurangan tekanan sebelum dan selepas terapi hutan.

Malaysia juga memiliki hutan hujan tropika yang indah dan luas. Justeru, terapi hutan patut diterapkan dalam aktiviti eko-pelancongan negara.

Malaysia turut mempunyai banyak kawasan hijau yang berhampiran kawasan bandar yang boleh dijadikan lokasi untuk terapi hutan mengikut kesesuaian individu dan kumpulan.

Baru-baru ini, pengurusan Kolej 14 UPM dengan kerjasama Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) dan Tokyo University of Agriculture, Jepun mengadakan webinar antarabangsa bertajuk ‘Forestry in Motion: Appreciating Green Space Around Us,’ yang merupakan webinar pertama di Malaysia mengetengahkan kepentingan terapi hutan di Asia Tenggara.

Pembentang dalam webinar ialah Prof. Dr. Iwao Uehara (Jepun), Dr. Nor Akmar Abdul Aziz (UPM) dan Dr. Keeren Sundara Rajoo) (UPM Kampus Bintulu, Sarawak) yang berkongsi pengalaman dan kemahiran bagaimana terapi hutan boleh dijalankan di kawasan hutan hujan tropika seperti Malaysia dan negara serantau.

Prof. Dr. Iwao Uehara  berkata, terapi hutan dipraktikkan dengan kaedah intervensi aktiviti di dalam hutan yang menfokuskan kepada peningkatan kesihatan kendiri. Kaedah terapi hutan banyak diadakan di Jepun.

“Melalui terapi hutan, peserta bukan hanya belajar teknik amalan terapi hutan secara betul, tetapi juga dapat merasai pentingnya penjagaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata bahawa tidak mustahil untuk Malaysia mengadakan terapi hutan secara besar-besaran kerana negara ini mempunyai kawasan hutan yang besar serta banyak kawasan eko-pelancongan yang sesuai dijadikan lokasi terapi hutan. 

Pengetua Kolej 14, UPM, Dr. Daljit Singh berkata Malaysia mempunyai banyak hutan dan kawasan hijau dalam bandaran yang boleh dijadikan pusat terapi hutan.

 

Beliau yang juga ahli penyelidik terapi hutan berkata antara penyelidikan berkaitan terapi hutan yang telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik terapi hutan UPM adalah kesan terapi hutan terhadap pelajar institusi dan kesan meluangkan masa di taman bandar untuk wanita bekerja di pejabat. 

“Hasil dapatan kajian menunjukkan kesan positif terhadap peserta daripada segi pengurangan kadar stress mereka.

“Sememangnya ramai yang menjalankan aktiviti luar rumah seperti mendaki dan jogging, namun ia tidak sama dengan terapi hutan yang lebih tertumpu kepada menjiwai persekitaran hutan,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti lapangan sedikit terbantut, namun terapi hutan boleh dilaksanakan di taman awam, taman dalam kawasan perumahan serta di kawasan rumah yang mempunyai pokok.

Kos menjalankan terapi hutan juga tidak tinggi kerana boleh dijalankan di kawasan hutan yang mudah dilawati. Namun, teknik pengedalian terapi hutan perlu mengikut keperluan peserta dan keadaan alam sekitar agar kesan positifnya dapat dirasai peserta. - UPM

 

SXDcVAQ~