| Universiti Putra Malaysia

Majlis Bersama Alumni sempena 30 tahun Jabatan Kejuruteraan Awam


Oleh: Dr. Aidi Hizami Alias

SERDANG - Tahun 2015 menandakan genapnya 30 tahun penubuhan Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM). Bersempena dengan itu jabatan berkenaan dengan sokongan Fakulti Kejuruteraan dan UPM mengadakan majlis makan malam bersama alumni Jabatan Kejuruteraan Awam menyambut ulang tahun itu.

Seramai hampir 200 orang alumni yang terdiri daripada pelajar kumpulan pertama (tahun bergraduat 1985), sehingga yang terkini hadir menjayakan majlis itu.

Majlis juga dihadiri staf Jabatan Kejuruteraan Awam, termasuk staf akademik, teknikal dan pentadbiran, serta yang telah bersara. Majlis diserikan dengan kehadiran mantan-mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, iaitu Ir. Dr. Syed Mansor, Dato` Ir. Abang Abdullah, Prof. Ir. Megat Johari, Prof Dato` Ir. Dr. Mohd Saleh, dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim.

Mantan ketua jabatan yang pertama Ir. Dr. Syed Mansor Syed Junid diberi penghormatan merasmikan majlis berkenaan.



Ia diadakan di Foyer Fakulti Kejuruteraan, UPM bertujuan memberi peluang kepada alumni Jabatan Kejuruteraan Awam untuk kembali ke UPM, dan melihat sendiri pencapaian jabatan pada masa kini.

Ketua Jabatan, Prof Madya Ir. Dr. Raizal Saifulnaz Muhammad Rashid adalah Penaung manakala Pengarah Program ialah Dr. Syazwani. Idrus. Majlis diuruskan oleh 47 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada staf Jabatan Kejuruteraan Awam dan dibantu ahli Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam (CESC).

Pada majlis itu, buku 30 tahun jabatan yang mencakupi pencapaian dan sejarah jabatan selain menjadi simbol keakraban dan kegemilangan warga dan alumni Jabatan Kejuruteraan Awam, telah dilancarkan.

Menyedari bahawa penyatuan di antara jabatan dan para alumni merupakan satu aspek penting dalam mencipta kejayaan yang lebih bemakna, satu jawatankuasa protem telah diumumkan semasa majlis itu, yang akan menjadi penggerak kepada penubuhan chapter alumni kejuruteraan awam UPM.

Majlis Bersama Alumni Sempena 30 Tahun Jabatan Kejuruteraan Awam yang dianjurkan itu juga menjadi sebagai satu platform bagi mengukuhkan hubungan stategik di antara alumni dan alma mater.

Di samping itu, bagi mendokong aspirasi Putra Global 200 (PG200) iaitu hasrat Universiti Putra Malaysia untuk tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik dunia pada tahun 2020, penganjuran majlis ini diharapkan dapat  melestarikan jalinan di antara Jabatan Kejuruteraan Awam bersama alumni. - UPM

 


WXDdTA2~