| Universiti Putra Malaysia

Mainkan peranan sebagai agen pembawa aura positif: Tan Sri Lim Ah Lek

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 5 Nov - Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek mahu graduan memainkan peranan sebagai agen pembawa aura positif dalam  masyarakat.

Katanya, graduan harus bersama-sama membantu pemimpin negara dengan lontaran idea bernas mengenai cara memajukan negara dan masyarakat.

“Marilah kita mulakan perubahan ini dengan melakukannya terhadap agen utama iaitu diri kita sendiri. Kita perlu mengubah mentaliti, pandangan, persepsi masyarakat ke arah yang lebih baik dan positif.

“Tidak perlu wang atau harta, tetapi kita boleh mulakan dengan senyuman dan bertegur sapa, serta ikhlas dan kasih sayang. Saya yakin perubahan positif akan berlaku, kepada masyarakat, dan negara kita akan bertambahmaju,” katanya ketika berucap pada Sesi 4, Majlis Konvokesyen ke-41 UPM di sini.

Beliau juga berkata, graduan perlu menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk membantu masyarakat, memajukan negara dan membantu generasi muda agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dicipta oleh graduan.  

“Jadilah contoh yang baik kepada masyarakat di mana sahaja anda berada. Tunjukkanlah yang graduan UPM ini bukan sahaja hebat dalam akademik malah hebat juga dari aspek sahsiahnya,” katanya.

Tan Sri Lim juga mengingatkan graduan supaya sentiasa menghargai jasa ibu bapa kerana dorongan dan pengorbanan mereka merupakan faktor penting kejayaan para graduan.

 “Inspirasi yang diberikan oleh mereka telah memungkinkan para graduan mengharungi segala cabaran, tekanan dan halangan dalam pengajian dengan lebih baik, matang dan berjaya.

“Pengorbanan mereka baik dari segi masa, tenaga, sumber kewangan mahupun kesabaran yang tinggi merupakan pengorbanan murni yang tidak harus dilupakan,” katanya. - UPM

SXDdBAi~