| Universiti Putra Malaysia

Mahasiswa UPM patut jadi penentu perubahan melalui Revolusi Industri 4.0

Oleh Thiviyah Manicam

Foto oleh Noor Azreen Awang

                                                     

SERDANG, 19 Dis – Mahasiswa seharusnya menjadi penentu kepada perubahan dan bukan pengikut kepada perubahan, kata pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum A. Jawan.

Beliau berkata, kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi asyik menjadi pengikut kepada perubahan tanpa memikirkan impaknya terhadap diri sendiri dan kepada orang lain.

“Fenomena ini perlu dielakkan dan kita semestinya patut menentukan perubahan,” katanya dalam Forum ‘Impak Revolusi Industri 4.0 (4IR) Dalam Aspek Kemanusiaan’ di sini.

Selain beliau, dua lagi ahli panel forum itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; dan mantan Dekan  Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Dr. Zaid Ahmad. Moderator forum ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof. Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad.

Prof. Tan Sri Dzulkifli pula berpendapat bahawa walaupun teknologi merupakan elemen yang dominan dalam Revolusi Industri 4.0, namun keperluan asas perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum agenda pemodenan ke arah negara maju diaplikasikan di negara sedang membangun seperti Malaysia.

“Segala perubahan alam sekitar seperti perubahan iklim yang merupakan impak daripada Revolusi Industri 1.0 perlu dipandang serius. Kita patut menentukan apa yang kita perlukan tanpa mengikuti segala perubahan ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Yang penting, keperluan asas perlu dipertimbangkan dahulu,” katanya dan memberikan contoh bahawa benteng penahan banjir amat diperlukan di tempat-tempat yang sering dilanda banjir seperti Kelantan daripada lebih mengutamakan pembinaan bangunan canggih untuk mengejar Revolusi Industri 4.0.

Prof. Dr. Zaid pula berkata bukan semua perkara, khususnya tenaga pengajar, boleh digantikan oleh teknologi.

“Guru tidak boleh digantikan oleh robot kerana guru bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada anak murid, malah membentuk insan kamil daripada segi emosi, rohani dan jasmani melalui didikan ilmunya dan tidak wajar digantikan dengan robot seperti kehendak Revolusi Iindustri 4.0,” katanya.

Menurutnya, jika tenaga pengajar digantikan dengan robot, kemungkinan besar ia akan melunturkan akhlak manusia. – UPM

SXESRAb~