Mahasiswa Tidak Babit Diri Secara Ekstensif Interaksi Antara Etnik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Mahasiswa tidak babit diri secara ekstensif interaksi antara etnik

Mahasiswa tidak babit diri secara ekstensif interaksi antara etnik


Oleh: Cheng Yi Wen dan Nor Huda Musa

SERDANG - Mahasiswa Malaysia tidak membabitkan diri secara ekstensif dalam interaksi antara etnik dan pergaulan meskipun mereka menyedari pentingnya perkara itu, selain saranan yang sering diutarakan agar mereka bergaul dan berinteraksi secara kerap, kata pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ezhar Tamam.

Justeru katanya,, universiti perlu secara strategik menggalakkan dan menginstitusikan kepelbagaian sebagai kaedah pembelajaran yang positif serta menggabung jalinkan perspektif kepelbagaian budaya serta isu ke dalam kehidupan kampus.

Katanya, pelajar perlu digalakkan untuk berfikir secara kritikal mengenai kepelbagaian dan perbezaan, serta keluar dari kepompong pandangan peribadi dengan mengambilkira pandangan pihak lain.

“Hubungan antara etnik dan pembelajaran mengenai kepelbagaian berkembang secara positif di kampus yang komunikasi antara etnik dan persekitaran suasana hubungannya ditentukan melalui ciri inklusif. Ini mesti dialami dan dirasai oleh pelajar,” katanya dalam syarahan inaugural bertajuk “Are University Students Getting Enough Interethnic Communication and Diversity Engagement Experiences? Concerns and Considerations.”



Ia dianjurkan oleh FBMK di Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) UPM, baru-baru ini.

Prof. Dr. Ezhar berkata interaksi antara etnik dan pergaulan pada setiap hari belum lagi menjadi satu norma dalam kehidupan pelajar tempatan, dan keadaan seperti itu berlaku biasanya hanya dalam situasi yang sudah di struktur, dan kebanyakannya dalam hal berkaitan aktiviti akademik.

“Meskipun kepelbagaian mudah dilihat, ia tidak selalu diirasai atau dialami oleh kebanyakan pelajar. Pelajar tidak terdedah secukupnya terhadap hubungan antara budaya dan merasai pengalaman kepelbagaian itu di dalam dan di luar kelas, yang merupakan perkara penting bagi perkembangan kognitif sosial dan sensibiliti demokratik,” katanya.
Beliau berkata, mahasiswa juga didapati hanya mempunyai minat yang sedikit terhadap berita dalam media, meskipun berita media mempunyai peranan dalam membangunkan sikap sosial.

“Juga dilihat sebagai satu norma bahawa mahasiswa tidak mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang pembelajaran berkaitan kepelbagaian yang boleh mereka perolehi sepanjang tempoh pembelajaran mereka selama tiga hingga empat tahun,” katanya.

Prof. Dr. Ezhar berkata, oleh itu hubungan antara etnik dan pembelajaran berkaitan kepelbagaian yang dirasakan penting dan mempunyai kewajaran, perlu diintegrasikan  secara sistematik dan strategik ke dalam program pembelajaran pelajar.

“Perlakuan komunikasi dibentuk oleh persepsi dan harapan. Justeru, adalah penting  untuk menyemai persepsi positif dan harapan ke arah hubungan antara etnik dan pembelajaran seawal tahun pertama di universiti, melalui kursus-kursus dan aktiviti ko-kurikulum,” katanya.

Beliau berkata adalah perlu untuk membangunkan hubungan antara etnik yang positif yang menarik minat kumpulan etnik untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik yang lain.

“Ini perlu diberi penekanan dan diintegrasikan dalam kurikulum rasmi dan aktiviti ko-kurikulum,” katanya. – UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112473