| Universiti Putra Malaysia

Mahasiswa 5 IPT anjur Program Kongsi Rezeki Bersama Asnaf Muallaf, Asnaf Yatim

SERDANG, 20 Dis – Gabungan mahasiswa lima universiti bersama YOSHMyFundAction berganding bahu turun padang membantu dan membuat edaran bantuan barang asas Rezeki Ummat dan Hidayah Gift Box kepada penerima Asnaf Yatim dan Asnaf Muallaf.

Edaran dilaksanakan di Pusat Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) dan mendapat sokongan serta kerjasama YOSHMyFundAction, Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, dan Halo Telco Sdn Bhd yang turut serta semasa serahan tersebut.

Sesi serahan “Kongsi Rezeki” itu adalah sebagai aktiviti yang menyokong kepada kempen pembangunan Pusat Tahfiz Anak-Anak Istimewa dan Autisme yang dianjurkan Mahasiswa Kursus Pembangunan Kesukarelawanan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setelah memahami objektif yang ingin dicapai melalui penganjuran kempen ini, sukarelawan mahasiswa di bawah kendalian YOSHMyFundAction dari Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Murni International College (MIC) turut terpanggil menyertai program “Kongsi Rezeki” itu.

Pengarah Urusan Syarikat Halo Telco Sdn Bhd, Mohd Syukrie berkata program seumpama itu perlu lebih banyak dianjurkan dalam kalangan sukarelawan mahasiswa bagi memastikan bakal graduan mempunyai tahap keprihatinan dan empati yang tinggi terhadap masyarakat.

Sebanyak 44 kotak Rezeki Ummat (RU) dan 22 Hidayah gift box yang ditaja oleh orang ramai melalui saluran perkongsian rezeki YOSHMyFundAction telah diedarkan kepada Asnaf Muallaf dan Asnaf Yatim.

Kesemua penerima manfaat adalah daripada kalangan asnaf di bawah jagaan PERKIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah.

Program serahan kongsi rezeki ini turut mengetengahkan konsep ikhtiar hidup dalam membantu keluarga asnaf yang terpilih menjalani sesi temuduga bersama syarikat Halo Telco dan Yosh MyFundAction untuk membantu mereka menjana pendapatan sampingan melalui peluang perniagaan.

Pihak Halo Telco Sdn Bhd dan YOSHMyFundAction mengenalpasti penerima manfaat berpotensi bagi menerima skim bantuan ikhtiar hidup melalui pemberian modal perniagaan dalam bentuk barangan, bahan pemasaran, gerai dan bimbingan bagi menjalankan perniagaan serta menguruskan aliran keluar masuk kewangan serta stok hasil daripada perniagaan, agar dapat diteruskan dalam jangka panjang.

Program seperti itu diharap dapat meningkatkan semangat masyarakat terutamanya generasi belia untuk bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan.

Ia juga diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang tinggal berdekatan bandaraya Kuala Lumpur yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang kini memasuki fasa pemulihan serta dan kesihatan pasca pandemik COVID-19.

Kolaborasi mahasiswa dan badan sukarelawan ini juga aalah platform untuk meningkatkan keterlihatan dan keterlibatan mahasiswa Malaysia yang cakna dan prihatin terhadap masyarakat. – UPM

SXDdIAW~