Maestro Biola UPM Menang Anugerah Emas Muzik Global | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Maestro biola UPM menang anugerah emas Muzik Global

Maestro biola UPM menang anugerah emas Muzik Global

Foto Marina Ismail



SERDANG,  27 Mei  (UPM) – Dr Joanne Yeoh, maestro biola dan ketua Jabatan Muzik Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Pingat Emas Anugerah Muzik Global (GMA) melalui album baharunya berjudul After A Dream.

Keputusan itu diumumkan dalam laman web GMA, organisasi berpejabat di California, yang menghakimi  dan memberi publisiti kepada pemuzik bebas dari seluruh dunia. Di samping menggunakan standard penghakiman yang tinggi, GMA memberi pengiktirafan terhadap karya dan kreativiti luar biasa seseorang pemuzik.

“Saya anggap anugerah ini sebagai suatu rahmat dan pengiktirafan terhadap karya saya sebagai ahli muzik kerana saya tidak meletakkan sebarang harapan apabila menyertai pertandingan ini,” kata Dr Yeoh dalam wawancara di pejabat beliau.

Menurut Dr Yeoh,  seperti pemuzik bebas lain, beliau mengemukakan “After A Dream” untuk memeriahkan pertandingan antarabangsa  GMA itu dan amat gembira apabila para hakim bebas menganugerahkan Pingat Emas untuk album itu (http://www.thegma.net).



Album yang memuatkan 10 lagu ciptaan khas itu dilancarkan di sini pada 10 Disember 2013 sebagai hadiah kepada peminat dan pengikutnya. Walaupun ia hanya boleh dibeli  secara dalam talian, tetapi setakat ini, lebih 1,000 unit telah terjual (www.joanneyeoh.com.my).

Dr Yeoh berkata kebanyakan pemuzik yang mengemukakan karya mereka kepada GMA terdiri daripada pemuzik yang tidak begitu terikat dengan apa yang dikenali sebagai ‘formula muzik poppy’. Sebaliknya, mereka yang menyertai pertandingan ini lebih menggemari muzik klasik ‘eklektik, crossover dan hasil ciptaan mereka dihakimi mengikut beberapa kategori seperti seni muzik, ciptaan, kreativiti dan keaslian.

Pemuzik berbakat  ini berasal dari Subang Jaya. Setelah menamatkan pelajaran peringkat menengah, beliau melanjutkan pengajian di Middlesex University dan memperoleh ijazah kelas pertama dengan kepujian dalam bidang muzik pada 1998. Pada tahun berikutnya, beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang persembahan muzik (pengkhususan dalam bidang biola) daripada University of Leeds.

Dr Yeoh menyertai UPM pada 2000 dan pada 2009, beliau menamatkan pengajian peringkat PhD  di Heriot Watt University, dengan memberi fokus terhadap muzik dan tingkah laku pengguna.


Beliau telah mengadakan banyak persembahan dan kepada peminatnya, Dr Yeoh begitu diingati kerana mengadakan persembahan bersama superstar Hong Kong  Jacky Cheung dan Alan Tam serta bintang pujaan ramai dari Taiwan, David Tao.  

After A Dream  ialah album kedua Dr Yeoh, hasil kolaborasi dengan Daniel Veerapen, seorang pemuzik dan komposer Malaysia yang terkenal.

Antara lagu dalam album baru ini ialah Simple Gifts, Miserlou, Dixie’s Land, Everytime I Pray, Greensleeves, Khosn Kale Mazel Tov – Hava Nagila, Tango, After a Dream, Danny Boy  dan Goin’ Home.

Ditanya kalau beliau sedang berancang album ketiga, beliau berkata adalah terlalu awal bagi beliau memikir  perkara itu. – UPM/kgo/sp

* Rencana ini telah diterjemahkan oleh Encik Samsudin Puteh.


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563455469