| Universiti Putra Malaysia

LinkedIn undang graduan, golongan ikhtisas UPM jadi ahli


SERDANG, 30 Mei (UPM) – Para graduan dan professional yang melawat  Pameran Pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hujung minggu lalu telah mendapat bonus tambahan apabila berpeluang mendengar taklimat tentang Linkedln, sebuah rangkaian gergasi profesional dan sosial di dunia siber.

Syarikat itu telah menghantar seorang wakil dari Singapura, Encik Atul Harkisanka ke hari terbuka UPM dan pameran program pascasiswazah di mana beliau telah bertemu dan bercakap dengan ahli LinkedIn yang berpotensi dalam sebuah seminar.

Lawatan Encik Harkisanka Sabtu lalu telah diatur oleh Hajah Azroul Liza bt Hj Khalid, ketua pegawai eksekutif Institut Mentari, sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur yang telah menjadi rakan jaringan Universiti Perubatan Negara Moscow di Malaysia.

Hajah Azroul berkata dia telah bertemu seorang pegawai LinkedIn dan melihat terdapat peluang untuk graduan dan golongan ikhtisas  Malaysia untuk mengiklankan diri mereka  melalui LinkedIn.

Atas sebab itu, beliau mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan LinkedIn dan menjemput mereka untuk bercakap dengan graduan dan profesional di Malaysia dan UPM merupalan organisasi pertama dalam senarai beliau.

"Graduan dan profesional kita harus meluaskan skop dengan melihat dunia sebagai majikan mereka atau rakan perniagaan yang berpotensi. LinkedIn merupakan salah satu rangkaian di seluruh dunia yang membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan dan juga dicarikan oleh majikan," katanya.

LinkedIn diasaskan oleh Reid Hoffman pada tahun 2002 dan sehingga kini, ia dikatakan mempunyai keahlian sebanyak 225 juta daripada lebih 200 negara dan wilayah.

Hajah Azroul Liza berkata, ia adalah penting untuk memberi pelajar bimbingan yang betul dari pakar LinkedIn dan dia akan cuba mengaturkan lebih banyak lawatan Linkedln ke negara ini kerana ia akan memberi manfaat kepada siswazah Malaysia dalam menyediakan diri untuk mengisi pasaran kerja berdasarkan kelayakan mereka.

"Beribu-ribu graduan memasuki dunia pekerjaan setiap tahun dan saingan dalam pasaran kerja menjadi semakin sengit.

“Hanya mereka yang tahu strategi untuk memasarkan diri mereka dengan baik akan terus kekal," katanya, sambil menambah bahawa kerjasama LinkedIn merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Institut Mentari.

Kampus UPM terletak hampir 20km di selatan ibu negara Kuala Lumpur yang meliputi lebih daripada 1760 hektar atau 6.82 batu persegi yang berlatarbelakangkan kehijauan alam sekitar yang meluas.
– UPM/kgo/ss


WXETOAR~