| Universiti Putra Malaysia

Lahirkan Sumber Manusia Berpendidikan Untuk Pimpin Dunia: Dato’ Seri Idris


Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Noor Azreen Awang

PUTRAJAYA, 5 Dis: Masanya sudah tiba untuk semua negara Asia sama-sama menggunakan segala sumber yang ada bagi kebaikan negara dan ke arah  meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber tenaga manusia berpelajaran dan berpengetahuan bagi memimpin dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata: “Dengan pendidikan kita mempunyai kekuatan, dan dengan kekuatan kita boleh memimpin dunia.”

“Justeru, kita perlu bergerak bersama dan maju ke depan dengan lebih pantas untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang sewajarnya untuk rakyat, untuk generasi akan datang memperoleh kekayaan pendidikan dan kekayaan pengetahuan supaya kita bergerak seiring atau lebih baik daripada negara di luar rantau kita,” katanya ketika merasmikan persidangan Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) 2016, bertemakan “Borderless Open Access Education,” di sini.

Teks ucapannya dibacakan timbalannya, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching. Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Presiden ASAIHL, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris; Setiausaha agung ASAIHL, Dr. Ninnat Olanvoravuth; dan bekas Presiden Timor Leste, Dr Jose Ramos-Horta.

Dato’ Seri Idris berkata, oleh kerana pendidikan tinggi terus berkembang dan melalui revolusi dari semasa ke semasa, sudah tiba masanya supaya fokus diberikan terhadap apa yang boleh ditawarkan kepada generasi muda berkaitan dunia tanpa sempadan dan teknologi yang boleh membuka akses kepada pendidikan.

“Kita bercakap mengenai penyediaan lebih banyak sumber dan memberi laluan mudah untuk generasi akan datang mendapatkan pengetahuan melalui dunia tanpa sempadan. Jika institusi pengajian tinggi tidak membuat persediaan untuk generasi muda ini, bagaimana kita boleh mengharapkan mereka bergerak maju dalam dunia global dan kompetitif dalam setiap aspek ini?

“Kita tidak mahu generasi masa depan ketinggalan hanya disebabkan kita tidak menyediakan mereka dengan peralatan sewajarnya untuk mereka bergerak maju,” katanya.



Beliau berkata dunia tanpa sempadan dan akses terbuka kepada pendidikan telah mewujudkan revolusi pendidikan, dengan lahirnya Massive Open Online Courses (MOCC) oleh University of London pada 2012.

Pelancaran empat kursus pada Jun tahun itu menyaksikan 200,000 pendaftaran, katanya.

Dato’ Seri Idris memuji UPM kerana menjadi universiti pertama di Malaysia melancarkan MOOC pada 2014 melalui kursus - Agriculture and Man.

“Ini seiring dengan inisiatif MOOC kebangsaan. UPM mula menawarkan MOOC untuk kursus kompulsori iaitu Islamic Civilization and Asian Civilization kepada semua universiti melalui platform antarabangsa diberi nama Openlearning.com. Pada 2015, PutraMOOC menawarkan kursus lain melalui platform itu, yang menggambarkan niche universiti itu dan keunikan kursus yang ditawarkan: Agriculture and Man, Malay Arts, and Malaysian Food Heritage.

Kursus yang ditawarkan sebagai MOOC bertujuan untuk menjangkau pelajar global, katanya sambil menambah bahawa UPM merancang untuk memperluaskan peranan PutraMOOC dalam menerajui agenda pertanian universiti melalui kerjasama dengan Asian Association of Agricultural Colleges and Universities (AAACU) dalam menawarkan kursus pertanian yang berkaitan.

“Merealisasikan e-pelajaran melalui PutraMOOC adalah visi universiti. Ini pastinya akan memperkasakan generasi baru berkaitan pengalaman pembelajaran global,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif UPM ini disifatkan sebagai persekitaran pembelajaran abad ke-21, yang bertujuan mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah e-pembelajaran serta untuk meningkatkan kenampakan UPM di peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Kebangsaan  (PPPMPT), Rancangan Asas Pendidikan Malaysia  yang menekankan pembelajaran sepanjang hayat, e-pembelajaran, pengantarabangsaan dan pemindahan pengetahuan,” katanya. – UPM

 

 


SXDdOAi~