| Universiti Putra Malaysia

Kumpulan nasyid UPM terbit album

Oleh: Adidi Tamin

 

SERDANG – Kumpulan Nasyid Nahwan Nur Universiti Putra Malaysia (UPM) menerbitkan album terbaru berjudul “Dia Ada” yang kini boleh didapati di saluran media digital.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata album itu adalah hasil usaha Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama penerbit Yasin Sulaiman dan  Inteam Records selaku Digital Distributer

Penerbitan album itu juga mendapat sokongan baik daripada para alumni yang menyalurkan dana bagi merealisasikannya.

Tiga lagu dimuatkan dalam album itu iaitu “Dia Ada.” Komposer dan penulis lirik Yasin Sulaiman turut berduet dalam lagu ini. 

Dua lagu lagi “Hawa Khatulistiwa” dan “Dunia Si Kecil” dicipta oleh alumni Nahwan Nur, manakala komposer ialah Wan Saleh dan penulis lirik Ajie.

Album “Dia Ada” berkonsepkan kerohanian di samping mengetengahkan isu kemanusiaan yang bergolak di negara Asia Barat. 

Album itu sesuai didengari dan dihayati semua peringkat umur dan kepercayaan kerana ia menerapkan nilai-nilai murni seperti kesederhanaan, isu keamanan sejagat dan ketuhanan yang sekali gus boleh melahirkan insan yang mempunyai sahsiah yang baik.

Jangka promosi untuk album itu dirancang bersama-sama team produksi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Inteam Records. Nahwan Nur akan menerbitkan video muzik rasmi untuk dimuat naik di laman YouTube dalam masa terdekat.

Nahwan Nur berharap penggemar dan penggiat nasyid tanah air serta pendengar dapat menerima buah tangan baharu album “Dia Ada” itu dan boleh mendapatkannya di pasaran media digital dengan memuat turun di iTunes, Spotify dan Deezer. - UPM

WXDdWA~