| Universiti Putra Malaysia

Kumpulan C-Heart UPM juarai Tech Plan Grand Prix Malaysia

Prepared by Azrina Azlan
Photo by Khoo Hock Eng and Lim See Ming


Dr. Khoo Hock Eng (depan, tengah) memegang hadiah kemenangan selepas majlis penyampaian hadiah


KUALA LUMPUR, 22 Jun: Kumpulan C-Heart dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara pada Tech Plan Grand Prix yang julung-julung kali dianjurkan di Malaysia, dan akan mewakili negara ke Agri Science Grand Prix di Tokyo, Jepun.

Sebanyak 13 kumpulan dengan pelan perniagaan masing-masing bersaing membentangkan idea mereka pada pertandingan yang diadakan di Kompleks  Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), 22 Jun lalu.

Pelan perniagaan Kumpulan C-Heart adalah “Production of supercritical carbon dioxide extracted C-Heart Oil” oleh Dr. Khoo Hock Eng, Profesor Madya Dr. Azrina Azlan dan Prof Amin Ismail.

Pelan itu mencadangkan penghasilan minyak dabai menggunakan supercritical carbon dioxide. Minyak dabai yang diekstrak dikenali sebagai minyak C-Heart, mengandungi bioaktif fitokimia yang boleh mencegah penyakit tertentu.


Dr. Khoo Hock Eng bersama hadiah yang dimenangi


Minyak C-Heart dijangkakan boleh mencegah atau memulihkan komplikasi yang berkaitan dengan penyakit kardiovaskular.

Isi dabai yang berlemak itu mengandungi kira-kira 25 peratus lemak dengan paras jumlah fenolik hampir sama dengan minyak zaitun. Dabai adalah sejenis buah nadir kepulauan Borneo.

Dengan kemenangan itu, C-Heart Team akan mewakili  Malaysia di Agri Science Grand Prix, Tokyo, Jepun pada 3 Oktober depan, dan akan bersaing dengan kumpulan-kumpulan dari Jepun serta kumpulan pemenang dari Singapura dan Taiwan.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan Flash Team dari UM yang dianggotai Darween Reza Sabri, Chu Wei Hong, Vincent Lok dengan pelan perniagaan mereka  “Mini Desktop size selective laser sintering.”

Tempat ketiga pula dimenangi Kumpulan N-ext, dianggotai  Chen Li Chau dan Dr. Amalina Muhammad Afifi juga dari UM dengan pelan perniagaan “Nanofibre wound dressing.”

Pengarah UMCIC, UM, Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman ketika berucap pada majlis itu berkata inovasi melalui penyelidikan di universiti adalah penting. Katanya, UM menyokong usaha tersebut, dengan memberi contoh syarikat-syarikat yang diusahakan oleh graduat universiti tempatan.

Untuk maklumat lanjut layari https://en.lne.st/my/.


WXDdPAk~