| Universiti Putra Malaysia

“Kukuhkan kerjasama, teruskan kecemerlangan”

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG – Warga Universiti Putra Malaysia (UPM) diseru untuk terus mengukuhkan kecemerlangan bagi menggerakkan strategi utama universiti dalam memacu kecemerlangan universiti dan negara.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata beliau yakin warga UPM serta pasukan kepemimpinan akan menjayakan strategi utama yang dijanjikan dalam Naratif Naib Canselor 2021 iaitu Memacu Pertanian Berteknologi Tinggi, Membangun Karektor Graduan UPM, Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan, Mendukung Kelestarian Institusi Mapan dan Menatang Pembudayaan Norma Baharu.

“UPM adalah bahtera besar di samudera luas yang memerlukan sokongan padu daripada warganya yang merupakan aset penting yang berpotensi dalam mencapai  visi dan misi yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, beliau menghargai profesionalisme yang ditunjukkan oleh pegawai akademik, pegawai pentadbir, pegawai pelaksana dan pelajar yang terus berbakti mendokong hasrat UPM untuk menjadi Universiti yang unggul di negara dan pada peringkat antarabangsa.

“Inilah bukti penghayatan Berilmu Berbakti dan nilai ihsan yang kita warisi hasil daripada pejuang semua mantan Naib Canselor yang akan saya teruskan bagi mencartakan UPM sebagai sebuah menara ilmu,” katanya.

Prof. Dr. Mohd Roslan turut berharap warga UPM terus merapatkan saf dan silaturrahim bersama serta mengukuhkan kerjasama untuk meneruskan kecemerlangan UPM.

“Saya percaya warga UPM akan terus memberikan keutamaan kepada usaha bagi meningkatkan integriti dan tadbir urus universiti yang baik untuk UPM terus kukuh di seantero dunia,” katanya.

Sementara itu, UPM menyahut hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyokong agenda pendigitalan melalui beberapa inisiatif dan strategi pelaksanaan kampus pintar bagi tempoh 2021-2025.

UPM juga akan memberi tumpuan utama kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini sejajar dengan perkembangan teknologi. - UPM

WXEUOA2~