| Universiti Putra Malaysia

‘Kucing bukan penyebar virus COVID-19’

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG - Kajian sehingga kini mendapati, tiada bukti bahawa kucing boleh menjadi  penyebar COVID-19 dan tiada bukti penularan wabak itu daripada kucing ke manusia.

Demikian dapatan hasil kajian SARS-CoV2 infection in Cats and Evaluation of Knowledge, Attitude and Practices towards COVID-19 among Pet Owners yang dijalankan oleh penyelidik daripada Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta wakil Sektor Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pensyarah Jabatan Patalogi dan Mikrobiologi Veterinar, FPV, UPM, Dr. Farina Mustaffa Kamal berkata bagaimanapun perlu ada usaha untuk mengadakan surveilan virus ke atas haiwan kerana virus sentiasa berubah dan menjalani evolusi.

Katanya, kajian itu dijalankan kerana pada awal pandemik COVID-19 tempohari, terdapat laporan mengenai jangkitan COVID-19 pada haiwan domestik seperti kucing dan anjing, serta haiwan di zoo seperti harimau dan singa. Eksperimen jangkitan di dalam makmal juga telah dijalankan di mana kucing dan anjing boleh dijangkiti apabila diberikan dos virus yang tinggi.

Menurutnya, fokus kajian itu adalah pada kucing kerana projek itu perlu dijalankan dalam tempoh yang singkat, dan berbanding dengan anjing, kucing juga dilaporkan lebih mudah dijangkiti.

“Semasa wabak SARS-CoV yang pertama pada 2007 di Hong Kong dan H5N1 Avian Influenza, kucing juga dijangkiti tetapi tidak ada bukti penularan kucing ke manusia. Saya tegaskan juga, buat masa ini tiada bukti bahawa kucing boleh menjadi penyebar COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan hubungan rapat antara manusia dan haiwan peliharaan, maka sejauh mana jangkitan SARS-CoV2 di dalam haiwan peliharaan milik pesakit COVID-19 harus dinilai lebih lanjut, termasuk faktor sama ada pemilik haiwan bergejala, pengendalian haiwan dan kontak dengan haiwan semasa pemilik mereka dijangkiti COVID-19 untuk mengetahui perkaitan dengan status COVID-19 mereka.

Dr. Farina berkata kajian itu terbahagi kepada dua bahagian, dengan objektif utama bahagian pertama adalah untuk mengetahui status jangkitan SARS-CoV2 pada kucing peliharaan milik pesakit COVID-19, dengan menjalankan surveilan antigen dan antibodi SARS-CoV2 ke atas kucing serta mengenalpasti faktor yang menyebabkan jangkitan daripada pemilik kucing kepada haiwan peliharaan mereka.

Sampel yang diambil daripada kucing ialah calitan hidung, mulut dan rektum untuk ujian RT-PCR bagi mengetahui status antigen dan sampel darah untuk ujian ELISA bagi mengetahui paras antibodi.  

Bahagian kedua kajian pula bagi mengetahui sikap, tingkah-laku dan amalan (knowledge, attitude and practices- KAP) pemilik haiwan peliharaan tidak mengira spesis haiwan, terhadap jangkitan COVID-19 pada haiwan.

Dr. Farina berkata, persepsi masyarakat umum mengenai peranan haiwan peliharaan dalam penularan SARS-CoV2 perlu dinilai untuk mengenal pasti jurang dalam pengetahuan dan kesedaran mereka mengenai jangkitan itu dalam haiwan peliharaan.

Katanya, ia kerana ada laporan khususnya daripada luar negara bahawa orang awam bertindak membuang haiwan peliharaan mereka kerana khuatir mereka boleh dijangkiti dengan COVID-19 daripada haiwan itu.

Kajian itu bermula November 2020 dan dijangka tamat September tahun ini. Projek berkenaan adalah projek ‘Covid19 supplementary fund’ yang merupakan projek jangka pendek tajaan Malaysia One Health University Network (MyOHUN) dengan kerjasama South East Asia One Health University Network (SEAOHUN) dan United States Agency for International Development (USAID). - UPM

SXETSAL~