| Universiti Putra Malaysia

Kongres ISSAAS bincang isu sumber pertanian tidak mampan

Oleh Noraida Ahmad Zaimi                                                                              

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 18 Okt –The International Society for Southeast Asian Agricultural Sciences (ISSAAS) menganjurkan ISSAAS Kongres 2019 membincangkan sumber pertanian tidak mampan yang dihadapi negara.  

Ia dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, yang mewakili menteri, Dato’ Salahuddin Ayub. 

Dato’ Salahuddin dalam teks ucapan yang dibacakan Dato’ Mohd Sallehhuddin, berkata, kongres itu menggalakkan kerjasama lebih lanjut di kalangan universiti-universiti yang mengambil bahagian untuk membawa kerjasama ke peringkat antarabangsa bagi meneruskan pembaharuan pertanian untuk pembangunan mampan. 

“Saya percaya bahawa perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan ahli akademik, penyelidik, inovator dan pengamal akan menghasilkan strategi dan pelan tindakan yang berkesan untuk menghadapi cabaran baharu yang dihadapi pembangunan pertanian,” katanya. 

Presiden ISSAAS Malaysian Chapter, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi pula berkata kongres itu bertujuan mengumpul pemegang taruh yang terlibat dengan pertanian serta menyediakan forum untuk membincangkan dan menyampaikan idea, dapatan, strategi sertan polisi yang berinovasi untuk pembangunan pertanian di Malaysia, ASEAN dan Jepun.

“Skop kongres meliputi pengeluaran tumbuhan dan alam sekitar pertanian, kimia pertanian, sains akuatik, perhutanan dan hasil perhutanan, kejuruteraan pertanian, sains haiwan, pengeluaran haiwan, perlindungan tumbuhan, pengembangan pertanian, perniagaantani, ekonomi pertanian, sains tanaman dan pertanian pintar/pertanian digital,” katanya.

Kongress yang bertemakan “Membentuk Pertanian untuk Pembangunan yang Mampan” itu adalah anjuran bersama Persatuan Antarabangsa Bagi Sains Pertanian Asia Tenggara (Malaysian Chapter), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia, Tokyo University of Agriculture dan The Society for Agricultural Education Research Development Abroad, Japan (SAEDA).

ISSAAS Kongres 2019 turut menyediakan perkongsian pengetahuan dan pengalaman di kalangan ahli akademik, penyelidik, pembuat dasar dan pengamal-pengamal polisi untuk mencapai cadangan yang berkesan bagi pembangunan pertanian yang mampan.

Seramai 300 peserta dari Malaysia, Jepun, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina menghadiri kongres itu. - UPM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SXEUJA2~