| Universiti Putra Malaysia

KILAUAN PUTRA 2015 budayakan lagu era 60an hingga 90an kepada Generasi Y

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Mohd Azreen Awang

 



SERDANG, 15 Mac – Buat julung kalinya Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Kilauan Putra 2015 sebagai salah satu usaha membudayakan penghayatan lagu-lagu Melayu era 60an hingga 90an kepada generasi Y. Pengarah PKKSSAAS, Haji Anuar Haji Ahmad berkata program itu bagi mengangkat kembali lagu-lagu nostalgia Melayu era 60an hingga era 90an untuk pendedahan kepada masyarakat belia. “Belia yang terdiri daripada pelajar UPM dan komuniti luar berpeluang menonjolkan bakat di samping mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah.



“Pertandingan seumpama ini juga dapat membentuk disiplin peserta dalam membuat persembahan dan menikmati muzik ke arah pembentukan insan yang mempunyai emosi seimbang, kreatif dan inovatif,” katanya semasa majlis penutupan program itu.

Pertandingan selama dua hari bermula 14 Mac itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kilauan Putra 2015 (terbuka)yang disertai 30 peserta daripada badan bukan kerajaan (NGO), Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, masyarakat setempat dan pihak berkuasa tempatan dan kategori Kilauan Putra Inter-Kolej 2015 (UPM) yang disertai 20 pelajar kolej kediaman di UPM.

Muhammad Hasif Mansor dari Kolej 10 muncul juara kategori Kilauan Putra 2015 Inter-Kolej UPM, naib johan Mohammad Aizat Luffi Jailani dari Kolej 14, manakala Nur Alyssa Roslan dari Kolej 5 di tempat ketiga.

Muhammad Aiman Che Omar dari Kolej 17 dan Muhammad Syafiq Farhann Boo Omar Boo dari Kolej Canselor pula menerima saguhati.



Bagi kategori Kilauan Putra 2015 Terbuka pula, Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali dari Puncak Alam muncul pemenang, Mus Ahmad dari Kuala Lumpur naib juara dan Nur Farrah Izzatie Johari dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketiga. Masing - masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM800, RM500, RM300, trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin. Juri jemputan terdiri daripada artis dan selebriti Malaysia iaitu Fauzi Marzuki, Nash Lefthanded dan Datuk Ramli MS.


Program dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Fuad Juara Kilauan Emas musim kedua, manakala pengacara ialah Momo Rajalawak musim ketujuh dan Nas Kilauan Emas musim keempat. Selain itu, turut memeriahkan persembahan khas ialah Prof. Datuk Dr. Mad Nasir, Ketua Jabatan Muzik UPM, Prof. Madya Dr. Joaane Yeoh Pei Sze, dan staf Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

WXEUWAp~