| Universiti Putra Malaysia

KHAIRUL AMIRIN JUARA TRADEC '19

Oleh Noraida Ahmad Zaimi

Foto Noor Azreen Awang

 

BANGI, 12 Sept – Pelajar Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Khairul Amirin Khairudin muncul juara program Cabaran Keusahawanan Dagang (TRADEC’19) anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM.

Khairul Amirin muncul juara menerusi syarikatnya Kaorin Resources, untuk menerima geran perniagaan bernilai RM1,500 dan Anugerah Khas Juri RM300.

Beliau mendapat inspirasi sewaktu berpeluang mengikuti program mobiliti selama enam bulan di Tokyo University of Agriculture and Technology (TUAT) Jepun hujung tahun lalu, apabila didedahkan dengan pelbagai teknologi pertanian moden dan boleh dipraktikkan di Malaysia.

Jumlah modal yang digunakan adalah ‘zero cost’ dengan membuat trading barang-barang pertanian seperti hidroponik, selepas mendapat modal RM500.

Hasil daripada jualan itu, katanya, beliau membeli barang-barang serta alatan untuk membuat produk sendiri dan sedikit demi sedikit ia berkembang menjadi lebih besar.

Katanya, ilmu keusahawanan sangat penting bukan semata-mata untuk menjadi usahawan, tetapi juga untuk mematangkan diri serta mengadaptasi dengan perubahan sekeliling.

“Dengan ilmu keusahawanan seperti kemahiran insaniah, ia mampu memberi kelebihan dalam kebolehpasaran graduan,” katanya dan berharap agensi-agensi memberi ruang dan peluang kepada anak muda untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan terutamanya bidang pertanian.

 

Anugerah program TRADEC’19 itu dianjurkan UCTC, UPM sejak lima tahun dan berjaya melahirkan 88 usahawan baharu dalam pelbagai bidang perniagaan.

Objektif utamanya adalah untuk mewujudkan satu program cabaran keusahawanan realiti dengan melibatkan mahasiswa secara langsung dalam modul komprehensif perniagaan e-dagang dan untuk melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan pelajar UPM. - UPM

 

WXDdTA~