| Universiti Putra Malaysia

Keunikan budaya Zhong Hua dipapar kepada pelajar

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

SERDANG, 5 Mac – Persatuan Senibudaya Zhong Hua Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi berkaitan penghayatan dan amalan sambutan Tahun Baru Cina yang diwarisi turun temurun, dengan pelajar UPM serta masyarakat umum melalui Program Pesta Ang Pau.

Perkongsian bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru itu menepati ciri-ciri keunikan Senibudaya Zhong Hua yang bercirikan keharmonian, kepercayaan, bahasa, budaya, dan amalan tradisional masyarakat Cina Malaysia.

Pengarah Program, Pang Way Ken berkata ia program bertemakan ‘Faithful Resilience’ itu merupakan program tahunan terbesar persatuan Senibudaya Zhong Hua.

“Pelbagai pengisian termasuk karnival dan persembahan pentas diadakan sepanjang bulan ini dan April.

“Saya berharap budaya Cina kekal terpelihara dan mewujudkan suasana meriah Tahun Baharu Cina dalam kampus,” katanya.

Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Dan Alumni) UPM, Mohd Nazri Noh dalam ucapan perasmiannya berkata program itu memainkan peranan penting dalam usaha memperkenalkan keunikan budaya Zhong Hua.

“Keunikan budaya ini dapat memupuk kefahaman yang tinggi, sikap bertolak ansur, saling menghormati tanpa mengira kaum dan kelas sosial serta mewujudkan suasana harmoni dalam kampus,” katanya.

Program kali ke-13 itu berusaha memperkenalkan dan mengekalkan kebudayaan kaum Cina melalui pelbagai acara dan aktiviti iaitu roadshow’ di SJK(C) Serdang dan di IOI City Mall, Karnival Pesta Angpau dan persembahan pentas.

 

SXEUKA~