| Universiti Putra Malaysia

Kesatuan kakitangan am UPM sokong Naib Canselor baharu

Oleh Siti Hajar Zainal & Kuah Guan Oo
Gambar oleh Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 15 April (UPM) – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) menyokong penuh Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan sebagai Naib Canselor UPM yang baharu dan berikrar untuk memainkan peranannya sebagai tunjang ke-3 demi mempertahankan  universiti penyelidikan ini.

Ini ditegaskan oleh Hj. Mohd Zailani Abdul Razak, presiden kesatuan sekerja kakitangan am dengan 2,300 ahli, ketika diminta mengulas dua pertemuan di antara kesatuan dengan Naib Canselor yang baharu.

Prof. Dr. Mohd Fauzi telah mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin kesatuan pada 20 Mac 2013 ketika beliau menyerahkan cek insurans kepada waris dua kakitangan UPM yang telah meninggal dunia. Beliau ditemani oleh penasihat eksekutif KEPERTAMA, Datuk Omar Osman.



Hj. Mohd Zailani berkata mereka mengalu-alukan Prof. Dr. Mohd Fauzi sebagai Naib Canselor UPM yang ketujuh dan melahirkan harapan kesatuan akan diberi peluang untuk bekerja bersama-sama tenaga pengajar dan juga kakitangan pengurusan demi kemajuan universiti penyelidikan itu.

Beliau berkata seramai 30 orang akan berusaha gigih membantu pentadbiran universiti, dan berharap pengurusan akan mengambil tindakan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Katanya, Naib Canselor UPM, dalam ucapannya pada pertemuan itu memberitahu mereka bahawa beberapa keputusan dibuat pada mesyuarat majlis universiti dengan jabatan-jabatan berhubung dengan penambahbaikan perkembangan kerjaya untuk semua peringkat kakitangan.

Antaranya ialah penambahbaikan kontrak sepanjang hayat untuk memperbaiki diri bagi semua lapisan pekerja universiti.

Prof. Dr. Mohd Fauzi juga memberitahu mereka bahawa UPM akan memberi tumpuan kepada pertanian bandaran memandangkan majoriti penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan perbandaran.

Katanya sementara pertanian bandaran akan membuka jalan kepada keselamatan bekalan makanan dan mengurangkan belanja import makanan, ia akan menaikkan imej UPM yang berasaskan pertanian.

Hj. Mohd Zailani berkata, antara isu yang telah dibangkitkan pada sesi soal-jawab di antara exco kesatuan adalah soal kenaikan pangkat di mana mereka meminta kekananan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang.



Kesatuan juga meminta agar anak-anak diberikan keutamaan untuk belajar di UPM dan diberi pekerjaan apabila terdapat jawatan kosong.

Mereka juga meminta kuarters tertentu kakitangan unversiti diubahsuai manakala ahli-ahli dibenarkan untuk menggunakan kenderaan universiti dalam beberapa hal seperti kematian dalam keluarga.

Mengenai persoalan pengawal keselamatan yang KEPERTAMA anggap sebagai anggota keluarga UPM, beliau berkata kakitangan ini tidak boleh menyertai kesatuan mengikut undang-undang walaupun mereka memainkan peranan penting menjaga keselamatan universiti.

KEPERTAMA, kata beliau telah mencadangkan agar 26 jalan menuju ke dalam dan keluar dari dua kampus (Kampus Utara dan Selatan) dikurangkan, sedang kekuatan pengawal ditambah dan kad pintu masuk untuk pelajar dan kakitangan diperkenalkan untuk pengawalan lebih berkesan dan pencegahan jenayah.

“Pasti pada mulanya akan ada beberapa aduan daripada pelajar dan kakitangan apabila sesetengah jalan ditutup tetapi ia akan berkurangan apabila mereka melihat keberkesanan peraturan keselamatan itu,” katanya.

Naib Canselor berkata UPM telah memperuntukkan RM5.5 juta untuk memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) untuk seluruh kampus, sementara Laluan B telah diperuntukkan kepada pelawat.

Kakitangan dan pelajar UPM akan diberikan kad untuk semua tiga laluan – A, B dan C – di bawah peraturan baru itu.

Prof. Dr Mohd Fauzi juga memberitahu perkembangan mengenai klinik bergerak UPM untuk menyampaikan pengetahuan mengenai pertanian bandaran dan rancangan bagi menjana lebih banyak hasil daripada Taman Pertanian Universiti daripada RM4.2 juta setahun sekarang ini.

Padang golf menjana RM1.8 juta sedang kelapa sawit sedang ditanam semula.

Mengenai satu lagi soalan, Naib Canselor baharu itu berkata UPM sedang berusaha menaikkan tarafnya sebagai Pusat Keselamatan Makanan Negara. Ia juga berusaha untuk menjadi sebuah hub Halal.

Kemudian, Prof. Dr. Mohd Fauzi menyerahkan sekeping cek daripada Takaful Ikhlas Sdn Bhd kepada Puan Anizah Omar, balu Allahyarham Junaidi Jaafar, seorang pembantu makmal di Fakulti Pertanian.

Cek kedua daripada CIMB Aviva diserahkan kepada Puan Rabunah Chat, balu Allahyarham Saidin Othman, seorang pembantu pentadbiran daripada Pusat Sukan.

Hj. Zailani berkata kesatuan telah menguruskan lima jenis insurans untuk dibeli oleh ahli-ahlinya sejajar dengan keperluan mereka. – upm.

Shz/kgo/kam


WXDdUA~