Kerusi, Meja ‘Ergo Kid’ Dibangunkan Untuk Keselesaan Pelajar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kerusi, meja ‘Ergo Kid’ dibangunkan untuk keselesaan pelajar

Kerusi, meja ‘Ergo Kid’ dibangunkan untuk keselesaan pelajar

By Azman Zakaria


SERDANG, 17 Mei - Penggunaan kerusi dan meja yang bersesuaian dengan bentuk fizikal seseorang amat penting bagi mewujudkan keselesaan, malah dapat mengurangkan kemungkinan terdedah kepada risiko ergonomik yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut pensyarah dan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia  (UPM), Prof. Madya  Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, kanak-kanak terutamanya, seharusnya menggunakan kerusi dan meja yang bersesuaian dengan bentuk fizikal atau postur badan mereka.

Katanya, penggunaan kerusi dan meja yang tidak bersesuaian dengan bentuk fizikal badan bagi tempoh jangka yang panjang boleh mengundang sakit  Musculoskeletal Disorders (MSDs) iaitu kecederaan yang menjejaskan pergerakan badan atau sistem ‘musculoskeletal’, yang kebiasaannya akan dirasai apabila meningkat dewasa.

Beliau berkata, hasil kajiannya yang dilakukan terhadap 843 pelajar di 10 buah sekolah rendah di Selangor, Pahang, Johor dan Perak mendapati ramai responden yang mengadu sakit antaranya pada leher, bahu dan tengkok kerana postur badan mereka tidak sesuai dengan kerusi dan meja serta kesan daripada bebanan berat beg sekolah yang dibawa.



Menurutnya, satu kajian lain pula mendapati berat beg yang dibawa oleh kanak-kanak sekolah rendah di negara ini, adalah lebih 15 peratus daripada berat badan mereka.

“Beg itu pula ketika di dalam kelas, kebiasaannya diletakkan di bangku atau kerusi menyebabkan ruang untuk duduk pula terhad, yang sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar,” katanya dalam temu bual.

Justeru, beliau tampil dengan rekabentuk kerusi mudah laras dan meja yang bahagian atasnya boleh dicondongkan untuk mudah membaca dan menulis.

Meja itu turut dilengkapi dua laci beserta kunci untuk membolehkan pelajar menyimpan buku. Ini bertujuan mengurangkan berat beban beg pelajar kerana buku boleh disimpan di dalam kelas.

“Ramai kalangan pelajar di peringkat awal persekolahan rendah tidak mengikut jadual waktu sebaliknya membawa kesemua buku setiap hari yang menyebabkan beg sekolah mereka berat.

“Dengan adanya laci yang berkunci, mereka boleh menyimpan buku yang tidak digunakan untuk membuat kerja rumah atau ulang kaji, di sekolah,” katanya.

Papan yang digunakan untuk meja, katanya, adalah ‘chipboard’ yang dilapiskan dengan corak kayu dipermukaannya.

Beliau berkata kerusi dan meja prototaip dibangunkan pada 2009 untuk kelas Tahun 1 hingga Tahun 6, sebelum dibuat penambahbaikan pada tahun berikutnya.

Katanya, kerusi itu dilengkapi tempat meletak tangan dan penyokong lumbar  (lumbar support) yang menyerap dan mengampu berat di bahagian belakang bawah badan. – UPM

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112665