Kekayaan Warisan Dan Impak Berkekalan Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kekayaan warisan dan impak berkekalan Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar

Kekayaan warisan dan impak berkekalan Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar

Oleh Prof Dato’ Ir. Dr Mohd Saleh Jaafar
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM


Allahyarham Dato’ Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi


SERDANG, 22 Okt (UPM) – Lebih seminggu sudah berlalu sejak Dato’ Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat sakit barah sedang akhbar-akhbar terus menyiarkan berita mengenai beliau dan kerja beliau sepanjang hayat.

Malah belum ada naib canselor di negara ini yang menerima liputan begitu meluas berikutan kematian mereka seperti Dato’ Ir. Dr Radin Umar, mantan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia yang meletak jawatan pada 31 Disember 2012, setahun lebih awal daripada jadual tiga tahun berkhidmat oleh kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

Tetapi saya dapat memahami semua ini kerana saya agak lama bekerja bersama-sama beliau, saya bermula sebagai tutor dan beliau seorang pensyarah dalam Jabatan Kejuruteraan Sivil Fakulti Kejuruteraan UPM yang baru ditubuhkan pada 1985.

Bilik saya bersebelahan beliau dan walaupun beliau merupakan senior saya beberapa tahun boleh dikatakan kami sentiasa bekerjasama. Apabila beliau menjadi Dekan Fakulti, saya menjadi ketua jabatan, jadi anda boleh gambarkan betapa saya begitu mengenali beliau.



Satu perkara yang saya kagumi mengenai beliau adalah kebolehannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja beliau dan bagaimana beliau mampu melihat dan menjelaskan sesuatu dengan begitu mendalam kepada semua orang di sekelilingnya.

Itulah kekuatan beliau, kebolehannya mendapatkan orang dan pertubuhan membantu beliau dalam tugasnya mengenai keselamatan jalan raya dan masalah trafik yang menjadi minat beliau sejak dulu lagi.

Hakikatnya beliau memohon untuk menyertai Universiti Malaya tetapi sebaliknya berkhidmat dengan UPM yang memberi kelebihan kepada kita.

Mendapat pendidikan di Sekolah Aminuddin Baki Chemor pada peringkat menengah, beliau menyertai Royal Military College sebelum ke United Kingdom untuk pengajian peringkat Bacelor dan Sarjana dalam Kejuruteraan di University of Sheffield pada 1984 dan 1985.

Beliau meneruskan pengajian PhD dalam Kejuruteraan di University of Birmingham pada 1996, dengan pengkhususan dalam Sistem Diagnostik Kemalangan.

Orang ramai mengenali beliau kerana memperkenalkan laluan khas penunggang motosikal di negara ini untuk mengurangkan kemalangan motosikal dan kematian, penentuan ‘kawasan hitam’ atau bahagian jalan raya dan lebuh raya yang banyak berlaku kemalangan, penubuhan Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros) pada 2007 dan pengenalan pendidikan keselamatan jalan raya dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah.

Tetapi ramai tidak mengetahui bagaimana Radin Umar, hanya seorang jurutera muda, berjaya menyakinkan penggubal dasar di Jabatan Kerja Raya atau pihak tentera dan polis Bukit Aman agar mendengar dan akur serta melaksanakan idea beliau mengenai keselamatan jalan raya dan mencegah kemalangan.

Beliau selalunya membuat keputusan dan mendapat idea berdasarkan fakta dan perangkaan, tidak sesekali berdasarkan emosi atau persepsi. Oleh kerana itu beliau akan mengumpulkan data sepanjang masa dan menggunakan perangkaan, fakta dan angka-angka diperolehi itu untuk menguatkan idea dan cadangan-cadangan beliau. Inilah yang menjadi kekuatan beliau dalam usaha untuk meyakin dan merangsang orang di sekitar beliau.

Sebagai contoh, beliau mampu meminta polis menggunakan satu format pertanyaan ketika mengambil laporan mengenai kemalangan jalan raya, lantas memberi beliau data membolehkan beliau memahami dan merangka huraian kepada masalah keselamatan jalan raya.

Ini dikenali sebagai Sistem Analisis Kemalangan Mikrokomputer (MAAP) yang beliau rangka semula kemudian, hingga dijadikan sistem merakam kemalangan kebangsaan atau POL27 (Pin1/91) yang digunakan polis sejak 1991.

Dari segi statistik, laluan tambahan motosikal, yang pertama di dunia didapati berkesan dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan sebanyak 83 peratus.

Malahan idea beliau yang mewajibkan penunggang motosikal memasang lampu mereka pada siang hari untuk membuat mereka lebih kelihatan di jalan raya diketahui mampu menghalang tidak kurang daripada 800 nahas motosikal setahun.

Beliau juga telah melatih lebih daripada 300 jurutera, perancang dan penggubal dasar di bawah Road Engineering Association Malaysia (REAM).

Apabila beliau dilantik sebagai Naib Canselor UPM, ia ibarat peribahasa “sireh pulang ke gagang”. Ketika berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan, beliau melihat Fasa 1 Kompleks Kejuruteraan dibina.

Sebaik berkhidmat sebagai Naib Canselor, beliau berusaha sehingga Kerajaan melulus dan memulakan pembinaan hospital pendidikan UPM berharga RM600 juta yang sudah lama dinantikan.

Beliau juga menghuraikan banyak isu tertunggak dalam masa singkat beliau sebagai Naib Canselor. Antaranya adalah transformasi Graduate School of Management UPM untuk menjadi Putra Business School, satu-satunya pusat pengajian perniagaan pasca-siswazah di negara ini yang mendapat akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) pada Julai 2012.

Melalui kebijaksanaan beliau berunding dan penampilan terserlah beliau berjaya melahirkan keputusan menang-menang hingga mampu memujuk Malaysian Technology Development Centre (MTDC) bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian sewa untuk tiga fasa MTDC Technology Centre dalam kawasan pekarangan UPM.

MTDC telah membina pusat-pusat inkubasi itu pada 1997 berdasarkan perjanjian secara ”gentlemen agreement”  demi kepentingan bersama memandangkan ia perlu demi membantu negara melaksanakan pembangunan bersandarkan inovasi dan penyelidikan.

Perjanjian rasmi dengan MTDC yang ditandatangani pada tahun 2011  itu bukan hanya menjimatkan berjuta-juta ringgit kepada UPM dari segi sewa tetapi ia juga membolehkan program keusahawanan siswazah universiti menubuhkan 10 syarikat terbitan.

Isu kawasan tanah bertindih di antara UPM dengan Mardi yang berlarutan sejak 1972 akhirnya diselesaikan dalam masa khidmat beliau sebagai Naib Canselor apabila perjanjian muktamad melibatkan pertukaran tanah akhirnya dimeterai awal tahun ini.

Beliau juga menyelesaikan isu katering makanan dengan menamatkan secara baik kontrak Desasiswa Catering Services Sdn Bhd, bagi membolehkan UPM Holdings mengambil alih tugas menyediakan makanan bersih dan sihat kepada warga kerja dan pelajar pada harga yang berpatutan.

Memandangkan ada ramai ahli alumni dan anggota masyarakat yang mahu menderma demi kemakmuran rakyat, beliau menubuhkan Wakaf Ilmu iaitu wang derma yang terkumpul digunakan untuk membantu pelajar susah atau membina kemudahan yang amat diperlukan. Beliau berpendapat kita tidak perlu menunggu dari pihak kerajaan saja untuk mendapatkan dana.

Kita berharap agar Putra Business School, Hospital UPM dan Wakaf Ilmu akan berkembang maju selepas ketiadaan beliau, memandangkan beliau telah giat berusaha dengan penuh ikhlas menjayakan semua itu.

Dato’ Ir. Dr Radin Umar sememangnya adalah seorang pemimpin yang penuh bersemangat untuk mencapai wawasan, idea dengan kemampuan beliau.

Dalam kita bersedih berikutan pemergian beliau, kita tetap mengenang beliau sebagai sahabat dan rakan, mentor dan pemimpin, pembuka jalan yang perlu kita contohi demi kebaikan.

Semoga roh beliau dirahmati Allah dan beliau mendapat pahala bagi semua kebaikan dan warisan yang memanfaatkan kita.

Saleh Jaafar

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Putra Malaysia

-/kgo/agn/kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563454705