| Universiti Putra Malaysia

“Kejayaan ini hadiah untuk ibu"

Oleh: Chow Heng Yee

 

SERDANG, 27 Okt – Pengorbanan ibu terlalu besar, dan kejayaan ini adalah hadiah untuk ibu, demikian kata graduan etnik Bajau Kagayan, Mohammad Rasdly Abdul Batin.

 

"Mak adalah idola utama dalam kehidupan saya," kata Mohammad Rasdly, dari Kampung Kobong Darat, Pulau Banggi, Sabah, yang memperoleh Bacelor  Pendidikan (Sains Rumah Tangga) pada majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42, hari ini.

 

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata bahawa pengorbanan ibunya yang berasal dari Filipina terlalu besar dan sudah 26 tahun berpisah dengan keluarga asal.

 

“Mak menjadi motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat ijazah,” katanya.

 

Bagaimanapun kedua ibu bapanya tidak dapat hadir pada majlis konvokesyen itu.

 

Muhammad Rasdiy, pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) meletakkan UPM sebagai pilihan pertama untuk menyambung pelajaran dan tiga kali memohon untuk memasuki UPM.

 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UPM dan Pusat Zakat kerana membantunya dalam pelbagai aspek terutamanya kewangan.

 

Beliau juga membuat kerja sampingan untuk menampung kos kehidupan sepanjang pengajian selama empat tahun.

 

Muhammad Rasdiy turut aktif sebagai alumni SMK Banggi, Kudat, Sabah dan mahu sentiasa berbakti kepada sekolah sebagai membalas jasa serta sebagai tanda penghargaan dan terima kasih terhadap pengorbanan guru-guru yang mendidiknya. - UPM

WXETHAL~