| Universiti Putra Malaysia

Kegigihan graduan berkerusi roda dorong pembantu keselamatan sambung ijazah

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


SERDANG, 7 Nov – Keinsafan melihat kegigihan graduan berkerusi roda semasa konvokesyen selama enam tahun mendorong seorang pembantu keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambung pengajian ijazah.

Rizan Kabul, 40, akhirnya menerima Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pendidikan UPM pada Majlis Konvokesyen UPM ke-41 hari ini dengan belajar secara sambilan (jarak jauh) selama empat tahun setengah.

“Setiapkali saya bertugas dalam majlis konvokesyen selama enam tahun, hati saya meronta-ronta untuk menyambung pengajian terutama apabila terharu melihat ramai graduan yang berkerusi roda mampu berjaya.

“Jika mereka yang lemah upaya mampu, kenapa bukan kita yang sempurna ini tidak boleh belajar secara sambilan,” ujarnya yang bertugas di UPM selama 10 tahun.

Bapa kepada tiga anak yang berasal dari Kudat, Sabah itu mempunyai Diploma Sains Komputer UPM pada tahun 2005 sebelum berkhidmat dengan UPM pada tahun 2007 sehingga kini.

Katanya walaupun mendapat sokongan ketuanya untuk sambung belajar, cabaran belajar secara pendidikan jarak jauh (PJJ) amat getir seperti terpaksa ponteng kelas jika jadual kerja syif tidak mendapat pengganti untuk menghadiri kelas selain kertas projek tahun akhir ditolak.

 

WXDdMAM~