| Universiti Putra Malaysia

Kecekalan ibu inspirasi untuk Sharmila genggam Bacelor

Oleh: Kavitha A/P Gnanavelan
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia, FEM


SERDANG, 9 Jan ─ Tidak pernah berputus asa untuk menghabiskan pelajarannya dengan baik, Sharmila A/P Jayabalan, 26 berjaya menamatkan pengajian beliau dalam program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) pada Majlis Konvokesyen ke-44 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau merupakan anak sulung serta perlu bertanggungjawab dalam keluarganya kerana ibunya merupakan ibu tunggal serta mempunyai tiga adik beradik yang masih belajar.

Sharmila menjadikan ibunya sebagai idola kerana ibunya seorang wanita yang cekal serta menanggung pembiayaan pelajaran mereka adik-beradik sejak kecil sehingga ke universiti.

Kerana itu, beliau berdetik pada diri untuk menjadi seorang yang hebat seperti ibunya.

“Jika tiada bantuan dan sokongan dari ibunya, tidak tercapai impian saya sehingga ke momen yang cukup indah ini ini.

Pada masa yang sama, beliau juga berkhidmat sebagai guru di sekolah kerajaan di sekitar Kuala Lumpur berusaha untuk membina keluarga beliau ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Meskipun mempunyai kekangan dari segi kewangan itu tidak menjadi penghalang untuk saya mengalah dan saya telah mengambil keputusan untuk memohon biasiswa KPM untuk mengurangkan beban belajar dalam keluarga,” katanya.

Tambah beliau, untuk berjaya perlu mempunyai usaha dan kesungguhan supaya tidak akan berasa menyesal pada masa akan datang. Selain itu, menghormati ibu bapa dan berdoa kepada Tuhan antara elemen penting untuk berjaya dalam kehidupan.

“Dalam kehidupan ini sememangnya mempunyai pelbagai cabaran tetapi kita perlu berjuang untuk mendapat sesuatu yang berharga bagi diri kita dan tidak menjadi seorang insan yang lemah,” katanya.

Beliau turut memotivasikan pelajar UPM untuk memanfaatkan waktu sebagai pelajar agar sentiasa mengikuti kelas secara talian dengan menepati masa yang telah ditetapkan oleh pensyarah masing-masing dan belajar bersungguh-sungguh. - UPM

WXEUEA7~