Karnival Kerjaya CanMERDEKA Bantu Peluang Pekerjaan Untuk Bekas Pesakit Kanser | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Karnival Kerjaya CanMERDEKA bantu peluang pekerjaan untuk bekas pesakit kanser

Karnival Kerjaya CanMERDEKA bantu peluang pekerjaan untuk bekas pesakit kanser

SERDANG, 21 Ogos - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama JobsMalaysia, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE, UPM), dan Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly akan menganjurkan Program Karnival Kerjaya CanMERDEKA bagi membantu bekas pesakit kanser memperoleh peluang pekerjaan.

Program ‘CanMERDEKA’ secara simboliknya berhasrat untuk memberi kemerdekaan kewangan atau ‘financial freedom’ kepada bekas pesakit kanser serta ahli keluarga mereka.

Program akan dilangsungkan pada 1 Oktober 2019 di FPSK, UPM.

Pada karnival itu, pesakit kanser akan berpeluang untuk bertemu dengan wakil dari pelbagai majikan, untuk memohon peluang pekerjaan. Bekas pesakit kanser amat dialu-alukan untuk hadir ke karnival kerjaya ini untuk membuat permohonan pekerjaan.

Kajian mendapati kira-kira 50% daripada pesakit kanser mengalami masalah kewangan pada tahun pertama setelah dijangkiti penyakit kanser. Antara punca masalah kewangan adalah kehilangan sumber pendapatan, diberhentikan pekerjaan, serta kos perubatan yang tinggi.

Kehilangan pekerjaan bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit serta ahli keluarga dari segi kesukaran kewangan, tetapi juga memberi impak negatif kepada produktiviti negara.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 106,262 orang menghidapi penyakit kanser di Malaysia pada tahun 2018. Kes kanser di Malaysia meningkat daripada 32,000 kes baharu pada 2008 kepada 37,400 pada  2012.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 56,932 menjelang 2025. Di antara jenis kanser utama di Malaysia adalah kanser paru-paru, kanser payu dara, kanser usus, kanser sel darah, serta kanser prostat.

Justeru itu, FPSK UPM dengan kerjasama JobsMalaysia, CaRE UPM, dan Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly mengambil inisiatif bagi membantu golongan itu dengan menganjurkan Program Karnival Kerjaya CanMERDEKA.

Bagi tujuan ini, JobsMalaysia berperanan membawa majikan yang ingin memberi peluang pekerjaan kepada bekas pesakit kanser.

Pihak penganjur juga menjemput majikan yang berminat untuk turut serta dalam karnival kerjaya ini, untuk menghubungi sekretariat jawatankuasa penganjur melalui emel cancerflyjobs@gmail.com.

Maklumat lanjut mengenai program CanMERDEKA boleh hubungi CaRE, UPM, Tel: 03- 8947 1011. - UPM

 

 

 

Tarikh Input: 04/09/2019 | Kemaskini: 04/09/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKZAAQ:00:14