| Universiti Putra Malaysia

Kanak-kanak ikuti kursus teknik penanaman sayuran secara organik

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam

 

SERDANG – Kursus teknik penanaman sayur-sayuran secara organik anjuran Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) diadakan untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Pengarah Kursus Siri 2017, Dr. Daljit Singh Karam berkata beliau melihat respons positif daripada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak mengenai pentingnya aktiviti luar dari rumah dan bilik darjah yang memberi kesedaran kepada mereka mengenai  pentingnya pertanian.

“Apa yang lebih membanggakan kami, ada juga ibu bapa turut serta dalam aktiviti-aktiviti di ladang organik ini. Melalui program sebegini mereka dapat mengetahui  gambaran sebenar mengenai pertanian secara organik dan pentingnya mengambil makanan secara sihat,” katanya.

 

Penasihat Unit Organik, Fakulti Pertanian, UPM, Datin Dr. Rosenani Abu Bakar berkata penganjuran kali ketiga itu bertujuan memupuk minat dan memberi kesedaran kepada kanak-kanak seawal umur lima tahun mengenai penanaman dan penghasilan sayur-sayuran sihat dan berkualiti secara organik dan kecil-kecilan di kawasan rumah.

“Antara aktiviti kursus ialah penuaian dan pengendalian sayur-sayuran serta penanaman pokok di batas yang dibina menggunakan bahan kitaran semula. Selain itu, aktiviti yang terbaharu ialah penanaman sayur-sayuran dalam bakul hiasan yang boleh digunakan sebagai hadiah,” katanya.

Kursus organik kanak-kanak itu diakhiri dengan aktiviti mewarna. Mereka menggunakan imaginasi untuk melukis panorama kawasan ladang organik, melengkapkan lukisan dengan imej-imej kolaj berunsurkan pertanian organik dan kemudian berkongsi serta bercerita mengenai lukisan tersebut

Bapa kepada peserta kursus, Muhamad Shah Osmin, berkata beliau tertarik menghantar anaknya ke kursus itu kerana ia memberikan peluang kepada anaknya  mempelajari teknik penanaman dan penjagaan sayur-sayuran secara khusus.

“Saya juga secara langsung dapat berkenalan dengan pakar pertanian UPM di Fakulti Pertanian antaranya Dr. Mohd Firdaus , Dr. Juju, Dr. Noraini, Dr. Mashitah, Dr. Martini, Dr. Dzarifah dan Dr. Sumaiyah,” katanya.

Seorang bapa, Syed Abdul Bari Syed Othman, dari Pulau Pinang berkata beliau teruja untuk menghantar anak-anaknya menyertai program itu.

“Saya memulakan perjalanan seawal jam 3 pagi dari Pulau Pinang, semata-mata untuk memastikan anak-anak dapat menyertai program penanaman organik kerana bilangan penyertaannya adalah terhad,” katanya.

 

Unit Organik, Fakulti Pertanian, UPM ditubuhkan pada 2013 oleh Datin Dr. Rosenani Abu Bakar dan Dr. Siti Hajar Ahmad. Penanaman secara organik bukan hanya sekadar bebas baja kimia dan racun perosak, malahan keseluruhan pembentukan serta penjagaan ladang organik  perlu mengikut piawaian MyOrganic yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian. - UPM

 

 

SXEYCAg~