| Universiti Putra Malaysia

KAKAK DAN IBU BAPA SUMBER INSPIRASI PASANGAN KEMBAR TAMAT BACELOR DALAM BIDANG SAINS KESIHATAN

Oleh: Faiznur Jasmin Faiz dan Nisa Sahira Samsudin

SERDANG, 10 JAN – Mempunyai latar belakang keluarga yang mementingkan pendidikan mendorong pasangan kembar Fazirah Samah dan Nazirah Samah, 25, telah berjaya menggenggam ijazah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Fazirah menamatkan pengajiannya dalam program Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan manakala adiknya pula, Nazirah menamatkan pengajian dalam program Bacelor Sains Bioperubatan.

Menjadikan kakak mereka, Dr. Rozana Samah yang kini mengajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai inspirasi diikuti juga untuk membalas jasa kedua ibu bapa, mendorong pasangan kembar ini untuk terus menghabiskan pengajian ijazah mereka.

Pasangan kembar ini yang berasal dari Melaka adalah bekas pelajar Asasi Sains Pertanian (ASPer), UPM  dan kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang yang sama.

Pasangan kembar yang juga pecinta kucing turut menekankan tentang kepentingan mempunyai support system yang bagus dalam menempuh perjalanan untuk menghabiskan pengajian ijazah mereka terutama sekali pada tahun akhir pengajian mereka yang diuji dengan wabak pandemik COVID-19. - UPM

SXEUXAj~