| Universiti Putra Malaysia

Jun Hoong disambut meriah oleh warga UPM di KLIA

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SEPANG, 24 Julai - Pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Cheong Jun Hoong yang menjuarai acara 10 meter platform Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2017 di Budapest, Hungary baru-baru ini disambut ketibaannya oleh warga UPM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Seramai 43 pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian dan 30 staf UPM menyambut ketibaannya. Antara pegawai utama UPM yang hadir ialah Pengarah Akademi Sukan UPM Prof. Dr. Shamala Subramaniam, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Dr. Abd. Rahim Abu Talib dan Ketua Pusat Sukan UPM, Dr. Hanafiah Ayub.

Selain UPM, kerajaan negeri Perak menghantar 10 penyokong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba Kuala Pilah menghantar 30 pelajar turut menyambut ketibaan Jun Hoong.

Jun Hoong, 27, yang merupakan pelajar Bacelor Komunikasi UPM berjaya mengalahkan penerjun China yang sekian lama mendominasi acara 10 meter platform wanita iaitu Si Yajie.

Cheong Jun Hoong membuat terjunan emas setelah meraih mata sebanyak 397.50. Penerjun China bagi pingat Perak ialah 396.00 mata dan pingat gangsa (391.95 mata) dimenangi oleh Ren Qian.

Acara yang dimenangi anak kelahiran Ipoh itu  merupakan pingat emas pertama buat negara sepanjang penyertaan atlet dalam Kejohanan Akuatik Dunia berkenaan.

UPM akan mengadakan majlis meraikan Jun Hoong dan atlet cemerlang lain bersama Naib Canselor tidak lama lagi.

SXDcXAL~