| Universiti Putra Malaysia

Juara Terjun Dunia, Jun Hoong raih Bacelor Komunikasi setelah 10 tahun

Oleh Amira Rafiq

SERDANG, 16 Nov -  Di sebalik kesukaran kerana terpaksa mengerah keringat antara pelajaran dan sukan, penerjun pertama Malaysia yang mendapat kejuaraan Kejohanan Terjun Dunia 2017 bagi acara 10m platform, Cheong Jun Hoong berjaya  memperoleh Bacelor Komunikasi pada Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

“Ini adalah detik indah saya dalam pendidikan sepanjang pengalaman karier sebagai atlet sukan terjun negara,” kata Jun Hoong yang teruja walaupun bergraduat setelah 10 tahun.

Katanya pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam mengejar cita-citanya dan yang paling mencabar ialah perlu menangguhkan pendidikannya sehingga tiga tahun kerana melibatkan diri dalam kejohanan antarabangsa serta menjalani latihan rutin.

“Mengikuti program pengajian yang berbeza daripada karier memberikan cabaran tersendiri untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana saya optimis masa depan dalam bidang pengajian ini. 

“Saya juga perlu peruntukkan masa yang lebih untuk mendapatkan bacelor ini kerana hanya mampu mengambil lebih kurang satu hingga dua subjek pada setiap semester demi membahagi diri antara pelajaran dan karier,” katanya yang ditemani oleh kedua ibu bapa dan dua adik beradik.

Jun Hoong juga tidak menduga dapat bergraduat pada kali ini kerana masih dalam proses pemulihan dari pembedahan kedua-dua lutut kaki akibat kecederaan pada tahun lepas,” dedah Jun Hoong menceritakan ujian getirnya sepanjang bergelar pelajar.

Beliau yang mengikuti pengajian sepenuh masa di UPM sejak tahun 2009 berhasrat ingin menyambung pengajian ke peringkat master dalam bidang yang sama selain menumpukan lebih masa untuk memulihkan prestasi dirinya bagi kejohanan sukan terjun pada masa akan datang.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak universiti kerana memudahkan segenap urusan pendidikannya dan memahami situasi kariernya sepanjang pengajian di UPM. – UPM

WXETVAK~