| Universiti Putra Malaysia

Jia Yong naib juara Young Persons’ World Lecture Competition

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh 

LONDON, 10 Okt – Pelajar PhD daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Lam Jia Yong telah memenangi tempat kedua untuk syarahannya yang bertajuk ‘DNA biosensor based on optical fibre for the detection of pathogen: A novel approach’ dalam the 15th Young Persons World Lecture Competition (YPWLC).

Beliau meringkaskan penyelidikan PhDnya melalui pembentangan mengenai perkembangan kaedah diagnostik baru untuk leptospirosis (penyakit kencing tikus) menggunakan serat optik iaitu bahan yang biasa digunakan dalam bidang komunikasi.

Sebagai pemenang tempat kedua, beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak GBP1,500, MacBook Air dan sijil. Ahli jawatankuasa penasihat tesis beliau terdiri daripada Prof. Madya Dr. Chee Hui Yee sebagai penyelia utama, Dr. Mohd Hanif Yaacob dan Prof. Madya Dr. Ho Kok Lian sebagai penyelia bersama.

Sebelum menyertai YPWLC, beliau telah memenangi Materials Lecture Competition yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 30 April 2019 dan mewakili Malaysia di YPWLC.

Beliau dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Norkhairunnisa Mazlan, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin, Dr. Yasmin Mustapha Kamil, Dr. Ainun Zuriyati dan Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri.

YPWLC telah dianjurkan setiap tahun oleh Institut Bahan, Mineral dan Perlombongan (IOM3) dengan objektif untuk menggalakkan saintis dan jurutera muda bahan memantapkan kemahiran komunikasi mereka.

Setiap tahun, pemenang pertandingan peringkat kebangsaan dari seluruh dunia akan dipilih untuk mewakili negara mereka di peringkat akhir dunia yang diadakan di lokasi negara berbeza.

Pada tahun ini, sembilan finalis dari United Kingdom, Malaysia, Brazil, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Singapura, Hong Kong dan Rusia telah mengambil bahagian ke London selama seminggu.

Selain pertandingan, para finalis turut mengambil bahagian dalam satu siri aktiviti yang dianjurkan oleh IOM3, seperti Matopoly: London, lawatan ke Tapak Warisan Roll-Royce, Cambridge University Department of Materials Science and Metallurgy, lawatan di sekitar London, permainan bowling, serta lawatan ke sekolah rendah di mana mereka menyampaikan pembentangan ringkas kepada murid tahun 6 di sekolah berkenaan.

SXDdWAP~