| Universiti Putra Malaysia

Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di UPM meriah

Oleh: Mohd Dasuki Sahak

 

SERDANG, 14 Sept – Majlis Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM) disambut meriah dengan pelbagai aktiviti berkaitan penghayatan Rukun Negara, dijalankan.

Aktiviti itu termasuk seperti bacaan ikrar, tayangan video, penyerahan bahan promosi, kuiz, nyanyian lagu dan pameran.

Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM, Muzaffar Shah Kassim berkata, penghayatan lima prinsip Rukun Negara merupakan tunjang utama kepada perpaduan dan penyatuan bangsa Malaysia.

 

Beliau berkata, pemilihan perpustakaan sebagai lokasi Jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara adalah sangat bertepatan dengan fungsi perpustakaan sebagai pusat penyebaran maklumat.

“Perpustakaan sebagai pusat komuniti setempat mampu menyebarkan maklumat dan risalah mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara dan kenegaraan serta penganjuran pelbagai aktiviti yang memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

 

“Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan cintakan tanah air dan prinsip-prinsip Rukun Negara, kami di UPM sentiasa menyokong penuh program seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata, amalan bacaan ikrar Rukun Negara telah menjadi rutin kebiasaan sejak di zaman persekolahan selepas diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

“Amalan ini bertepatan dengan saranan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein agar Rukun Negara diamalkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah dan tidak menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, Hasnita Ibrahim yang juga Pengurus Maklumat BERNAMA, berkata program jerayawara itu bermula 24 Ogos lalu melibatkan 33 lokasi terpilih di seluruh negara.

Ia berakhir pada 15 September.

Pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara dipromosikan sepanjang program jelajah itu seperti ‘Insta Challenge’, ‘Rukun Negara Hour’, Webinar, ‘e-Treasure Hunt’, Bual Bicara Bersiri dan dokumentari. - UPM

 

SXEQRAm~