| Universiti Putra Malaysia

ITMA kini dikenali Institut Nanosains dan Nanoteknologi, UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 15 Nov – Institut Teknologi Maju (ITMA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dijenamakan semula kepada Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) selaras dengan perkembangan semasa sebagai peneraju utama dalam penyelidikan berasaskan nanosains dan nanoteknologi.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata penjenamaan itu memberi impak positif kepada penyelidik di ION2 untuk lebih fokus kepada bidang tujahan yang ditetapkan

“Penstrukturan ini dilihat memberikan impak positif serta melonjak nama UPM sebagai salah satu peneraju utama dalam berasaskan nanosains dan nanoteknologi bagi mendukung bidang tujahan ION2 yang baharu iaitu Sintesis Hijau dan Aplikasi,” katanya.

Pengarah ION2, Prof. Dr. Mohd Nizar Hamidon berkata penukaran nama itu melambangkan fokus tujahan institut yang lebih dinamik serta transformasi itu dapat memperkukuhkan lagi bidang multi disiplin yang dilaksanakan di peringkat institut di UPM.

“Penjenamaan semula ini adalah wajar bagi meningkatkan keterlihatan bidang tujahan nanosains dan naoteknologi, keterlihatan kepakaran penyelidikan dalam bidang tujahan dan peluang kolaborasi penyelidikan antara penyelidikan tempatan dan antarabangsa dalam bidang tersebut,” katanya.

Majlis pelancaran nama ION2 itu bertujuan mempromosikan nama baharu ITMA kepada ION2 kepada warga UPM, pelajar, alumni, industri dan pihak luar, serta mewujudkan peluang rangkaian dan kerjasama antara alumni, staf UPM dan industri.

ITMA adalah satu daripada institut penyelidikan di UPM, dan ditubuhkan pada November 1999.

Ia melatih bakal pemimpin penyelidikan masa hadapan serta berkongsi hasil penyelidikan, kepakaran dan kemudahan dengan komuniti penyelidik dan industri di seluruh dunia. - UPM

WXETLAO~