| Universiti Putra Malaysia

Irama muzik Meiji dimainkan sempena ulangtahun Meiji ke-150

Oleh Ayunie Inanie Arzmi

Foto oleh: Marina Ismail

SERDANG, 20 Mac – Acara simbolik ‘Meiji Music Event’ dianjurkan oleh Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM)  hari ini bertujuan meraikan ulang tahun ke-150 zaman pemerintahan Meiji.

Pengerusi projek, Farah Nurzakiah Ahmad Tajuddin berkata menerusi program itu bertujuan membantu pelajar untuk mengenali dan memahami budaya dan bahasa Jepun yang merupakan kursus pilihan di UPM.

“Aktiviti kebudayaan Jepun ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar ilmu baharu dan mahir berkomunikasi dalam Jepun,” katanya.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia dan Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM.

Pemain viola, Rio Yamase dan pemain piano, Felicity Thong dijemput khas dari Jepun untuk bermain alat muzik mereka bagi memperkenalkan budaya Jepun menerusi irama muzik Meiji kepada pelajar UPM.

Pada majlis itu pelajar Bacelor Muzik (Persembahan Muzik), FEM, UPM berpeluang  memanfaatkan ilmu yang dikongsi oleh Rio serta menghayati muzik tradisi masyarakat Jepun sambil berinteraksi dengan Rio dan Felicity secara terus.

Rio pernah bekerjasama dengan studio animasi terkenal Jepun, Studio Ghibli bagi menghasilkan lagu untuk animasi ‘Monmon the Water Spider’ dan ‘Tales from Earthsea’.

Beliau kini menyebarkan ilmu mengenai viola Hardanger.

Sementara itu, perkembangan muzik di Jepun dipengaruhi oleh budaya dan muzik Barat yang memberi pengaruh kuat kepada perubahan arus muzik di zaman pemerintahan Meiji. - UPM

SXDdFAX~