| Universiti Putra Malaysia

INSPEM dan NAHRIM tingkat kepakaran aplikasi statistik penyelidikan alam sekitar

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Mohd Hasrul



SERI KEMBANGAN, 26 Mei – Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah bekerjasama  dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dalam membantu meningkatkan kepakaran mengaplikasi statistik dalam menjalankan kajian berkaitan alam sekitar.

Pengarah INSPEM, Prof. Dato’ Dr Kamel Ariffin Mohd Atan berkata tujuan statistik adalah menghasilkan maklumat terbaik daripada data yang ada.

“Kepakaran INSPEM dalam bidang fundamental serta aplikasi matematik dan statistik dapat membantu dalam pelbagai penyelesaian yang melibatkan alam sekitar.



“Statistik merupakan instrument terbaik dalam memahami penyelidikan berkaitan alam sekitar terutama dalam bidang hidraulik air, hidrologi dan perubahan iklim,” katanya dalam majlis 2nd Joint Seminar on Statistic in Hydraulics 2015 (JoSSH II) yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Datuk Seri Palanivel berkata Kementerian Sumber Asli melalui NAHRIM kini giat mengaplikasikan kaedah statistik dalam menjalankan beberapa penyelidikan, khususnya dalam bidang sains alam sekitar.

Menurutnya,selain itu, statistik membantu pembentukan polisi seperti Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan, Dasar Sumber Air Negara dan lain-lain dasar serta menyokong usaha kerajaan menerangkan kepentingan sesuatu akta atau peraturan bagi memudahkan penerimaan di kalangan rakyat.

“Penggunaan statistik dapat membantu NAHRIM mengenal pasti kawasan berkemungkinan terjejas akibat banjir, kemarau serta hakisan, dan kerajaan dapat membuat persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam.



Penggunaan statistik ini bukan sahaja tertumpu kepada NAHRIM tetapi digunakan secara menyeluruh di semua 12 jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,” katanya.

Menyedari akan kepentingan statistik dalam penyelidikan hidraulik air, hidrologi dan perubahan iklim, UPM melalui INSPEM mengambil langkah menandatangani MoU dengan NAHRIM pada tahun 2012 sebagai langkah menambah baik kepakaran penyelidikannya dalam aplikasi statistik bagi menghasilkan penyelidikan yang lebih meyakinkan, tepat dan berimpak.



Sejak menandatangani MoU itu, NAHRIM dan UPM telah menjalankan beberapa siri bengkel dan seminar berkaitan statistik.  Hasil penyelidikan itu dibentangkan dalam JoSSH II.

Turut hadir Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir. Ahmad JAmalludin Shaaban dan Pengerusi JoSSH II 2015, Prof. Madya S.Mahendran.


SXDdTAY~