| Universiti Putra Malaysia

Inovasi UPM terpilih dalam Malaysian Innovators


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Penyelidikan vaksin Newcastle Disease Vaccine (NDV4-UPM Vaccine) Universiti Putra Malaysia (UPM) terpilih dimuatkan dalam buku ‘Malaysian Innovators- Everyone can Innovate’ baru-baru ini.

Inovasi UPM itu ialah penyelidikan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UPM Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Ibrahim.

Sebelum ini, Prof. Datin Paduka Dr. Aini telah menerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk di Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010 pada Oktober lepas.

Buku terbitan kedua oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Malaysia Association of Creativity & Innovation (MARCI) merakamkan usaha inovatif daripada perintis perusahan, penyelidik dan belia untuk menunjukkan produk inovatif Malaysia boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.



Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir yang melancarkan buku itu berkata inisiatif penerbitan buku oleh MPC membolehkan pembaca berkongsi pengalaman dengan penyelidik-penyelidik.

“Penyelidikan oleh individu dan organisasi dalam buku ini memberi inspirasi kepada pembaca untuk membudayakan inovasi dan memandang ke hadapan,” katanya sempena majlis MPC CreaNova 2012: Power of Collaborative Innovation yang turut dihadiri oleh Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim.

Sebanyak lima inovasi daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA), satu institut penyelidikan, tiga daripada sektor industri kecil sederhana (SME) dan tujuh daripada sekolah menengah yang telah menghasilkan pengkomersialan produk, paten, reka bentuk industri, cap dagang dan hakcipta dimuatkan dalam buku itu.

Berita ini disediakan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm), Noor Eszereen Juferi, 0389468985.


WXDdOAg~