| Universiti Putra Malaysia

Inovasi UPM raih 7 Emas dalam PECIPTA 2015

Oleh Mardiah Hafizah

 



KUALA LUMPUR –  Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa daripada 24 penyertaan dalam pameran ‘Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa’ (PECIPTA) 2015   di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Normahdiah Sheik Said dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi adalah antara penyelidik yang  meraih emas melalui inovasi Storytelling Augmented Reality Kit (STAR KIT).

Prof. Dr. Dzolkhifli Omar dari Fakulti Pertanian turut merangkul pingat emas dengan inovasi Biobased Nanoemulsion of Rotenone For Safe and Effective Insect Pest Control iaitu sejenis racun serangga botani yang diekstrak dari pokok Tuba.

Penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Prof. Dr. Tan Chin Ping merangkul pingat emas melalui ciptaan New process for the production of refined palm oil with reduced 3-MCPD esters. Ciptaan ini telah menghasilkan satu penyelesaian pemprosesan untuk pengurangan 3 -MCPD ester dalam proses penapisan untuk kualiti minyak sawit yang bagus.

Selain dari itu, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff dari Institut Biosains juga telah memenangi pingat emas melalui ciptaan AquaGelatin: Halal Marine-based Gelatin for Versatile Nutraceutical and Cosmeceutical Applications iaitu penghasilan gelatin dan kolagen halal yang berasakan obor-obor.


Prof. Tan Chin PIng semasa memberi penerangan kepada juri


Wakil penyelidik  dari Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM Kampus Bintulu iaitu Prof. Madya Dr. Ahmed Osumanu Haruna, turut mendapat pingat emas melalui inovasi Activated Carbon For Green Farming. Melalui inovasi ini, para petani dapat melipat gandakan hasil padi dan juga dapat mengurangkan penggunaan racun perosak, tenaga kerja dan masa tuaian.

Shell-Less Extruded PKC hasil inovasi Prof. Dr. Norhani Abdullah dari Institut Pertanian Tropika turut memenangi pingat emas. Kajian ini adalah mengenai penghasilan makanan ayam yang dapat meningkatkan sistem imunisasi ayam.

Pingat emas lain dimenangi oleh inovasi GreenCat: Bi-functional Heterogeneous Catalysts for Production of Non-Edible based Biodiesel hasil ciptaan Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dari Fakulti Sains yang merupakan penghasilan pemangkin untuk pengeluaran biodiesel yang lebih berkesan.

PECIPTA pada kali ini telah dianjurkan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertemakan ‘Innovating Today for Tomorrow’.

Sebanyak 44 universiti awam dan swasta serta politeknik menyertainya dengan 500 projek inovasi dalam sembilan kluster utama. UPM menjadi ketua bagi kluster pertanian, akuakultur dan alam sekitar yang mempertandingkan sebanyak 103 penyelidikan dan inovasi.

 


SXDcUAP~