| Universiti Putra Malaysia

Inovasi penyembuh luka daripada peria katak, belimbing rosak

Oleh Azman Zakaria

Foto Saleha Haron

 

SERDANG - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan ‘Medicated Wound Dressing’, produk penyembuh luka daripada peria katak dan belimbing yang rosak, yang lebih berkesan dan sesuai termasuk untuk penyembuhan luka pesakit kencing manis.

Ia mempunyai ciri penyembuhan dan anti-mikrobial lebih berkesan, serta berpotensi untuk digunakan pada luka yang kronik dan traumatik dengan mengurangkan jangkitan kuman.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Dr. Rosfarizan Mohamad berkata, Medicated Wound Dressing berupaya menyembuhkan luka dalam tempoh kurang 48 jam berbanding lebih 48 jam menggunakan beberapa produk penyembuh yang diimport.

Katanya, antara kelebihan Medicated Wound Dressing ialah ia boleh digunakan secara terus pada luka sebagai gel penyembuh, atau boleh disediakan sebagai lapisan dalam balutan luka, atau dijadikan sebagai cecair penyembur.

Prof. Dr. Rosfarizan yang juga pensyarah Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul  berkata, inovasi Medicated Wound Dressing adalah produk yang berasaskan penggunaan nanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria yang ditemui dalam buah yang rosak seperti belimbing.

Katanya, nanoselulosa itu kemudian digabungkan dengan bahan nano yang telah disentesis dari peria katak untuk menghasilkan produk baharu dikenali sebagai komposit selulosa bakteria nano partikel perak atau komposit ‘hijau’.

Beliau berkata, komposit ‘hijau’ adalah produk baharu dan ‘novel’ untuk bahan penyembuh dan pencucian luka yang kronik.

“Inovasi ini mesra alam kerana ia menggunakan kaedah hijau (green method), lebih ekonomik kerana menggunakan sisa dan bahan buangan daripada buah-buahan, serta mempunyai ciri-ciri penting anti-mikrob dan tidak mengandungi bahan toksik,” katanya.

Menurutnya, produk itu dibangunkan kerana produk import penyembuh luka yang berada di pasaran adalah mahal. Penyelidikan bermula pada 2016 dan ia telah didaftar untuk paten perlindungan harta intelek.

Medicated Wound Dressing memenangi pingat emas pada International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) Malaysia 2019.

Ahli-ahli lain kumpulan itu ialah Dr. Mohamad Ridzuan Yahya, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad, Muhammad Izzuddin Zahimi, Dr. Mona Moniri, Dr. Amin Boroumandmoghaddam, Dr. Sussan Azizi, dan Zulhimi Masri. – UPM

 

WXDdEAe~