Inovasi Kesan Toksisiti Bahan Kimia Guna Ikan Hiasan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Inovasi kesan toksisiti bahan kimia guna ikan hiasan

Inovasi kesan toksisiti bahan kimia guna ikan hiasan

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Saleha Haron



SERDANG, 29 Ogos - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan kit bagi mengesan secara pantas toksisiti bahan kimia atau sebatian  secara kos efektif dengan menggunakan ikan hiasan, ikan zebra.

Kit yang diberi nama “Danio Assay” itu dihasilkan menggunakan embrio ikan Zebra Danio atau nama saintifinya “Danio Rerio” bagi menentukan kandungan tahap toksisiti  bahan kimia dalam barangan kegunaan harian khususnya makanan, kosmetik dan ubat-ubatan.

Pensyarah Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Dr Syahida Ahmad yang mengetuai kumpulan empat orang penyelidik itu berkata, ujian ketoksikan dijalankan bagi mendapatkan maklumat awal kemungkinan kesan sampingan jangka pendek (acute toxicity) atau jangka panjang (chronic toxicity) sesuatu bahan kimia, dadah atau pencemaran kepada manusia.

“Kesan toksisiti sesuatu bahan itu dilihat pada perkembangan embrio ikan zebra dan diaplikasikan kepada manusia di peringkat bayi dalam kandungan sehingga dilahirkan, dan ia boleh terus dipantau sehingga ke peringkat remaja dan dewasa.

“Ikan ini menjadi alternatif penting untuk menggantikan tikus dan haiwan ujikaji yang lain sebagai model ujian ketoksikan kerana ikan ini mempunyai urutan gen yang serupa dengan manusia hampir 80 peratus,” katanya pada sidang media di sini.

 Beliau berkata perkembangan embrio ikan zebra hampir serupa dengan manusia, dengan yang membezakan ialah masa perkembangan embrio ikan zebra iaitu 50 kali ganda lebih cepat dan berlaku di luar perut ibu yang bersifat lutsinar.

Oleh itu, katanya, pemantauan ke atas perkembangan embrio boleh dilakukan tanpa perlu membunuh ibu atau embrio ikan zebra berkenaan.

Beliau juga berkata, penyelidikan atau ujian ke atas embrio ikan zebra membabitkan kos yang lebih rendah dan hasilnya diperoleh dalam masa yang lebih singkat berbanding menggunakan haiwan seperti tikus.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284554