| Universiti Putra Malaysia

Inovasi kaedah mudah belajar Bahasa Inggeris guna teknologi AR, VR

Oleh: Azman Zakaria


SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merekacipta set permainan pengayaan bahasa Inggeris menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) dan Visual Reality (VR) untuk pelajar sekolah rendah Tahun 2 dan 3 (8 hingga 9 tahun) atau pelajar bermasalah pembelajaran, yang membolehkan mereka mempelajari bahasa Inggeris secara didik hibur.

Inovasi kaedah pembelajaran yang diberi nama Penjelajahan E-Bahasa 2020 itu adalah program berasaskan penerokaan atau penjelajahan bahasa yang memfokuskan pada perbendaharaan kata yang telah dipelajari oleh pelajar dalam sukatan pelajaran.

Perbendaharaan kata itu merangkumi kata sendi dan objek (kata nama) yang pelajar gunakan di kelas dan di rumah.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr Ilyana Jalaluddin berkata untuk merealisasikannya, pembelajaran bahasa Inggeris dalam program itu disusun dalam suasana santai, dengan unsur-unsur permainan interaktif diasimilasikan dalam program berkenaan.

Katanya, elemen interaktif permainan itui disokong oleh aplikasi AR dan VR yang diberi nama Hunting with E-Language untuk menggalakkan kemahiran berfikir kritis.

Menurutnya, bukanlah proses yang mudah bagi pelajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL), untuk mempelajari bahasa Inggeris terutamanya yang berpencapaian rendah atau pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran.

Dr Ilyana yang juga pensyarah kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM berkata, justeru itu pelajar berkenaan memerlukan bantuan pembelajaran lebih daripada biasa untuk membolehkan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang menarik dan berkesan.

“Pada masa ini, kebanyakan alat pembelajaran adalah berdasarkan bahan pembelajaran tradisiona. Guru perlu menggunakan sepenuhnya bahan tersebut dan menggunakannya secara kreativiti.

“Bagaimanapun, dengan hanya bergantung pada bahan pembelajaran ini sahaja adalah tidak mencukupi kerana pelajar akan mudah bosan dan mungkin sukar memahami konsep perkataan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk menggunakan unsur teknologi bagi memberi motivasi dan memudahkan pelajar istimewa itu dalam mempelajari bahasa Inggeris.

Beliau berkata, pembelajaran berasaskan teknologi jarang digunakan kerana kurangnya aplikasi atau perisian yang khusus untuk pelajar terutama yang berkeperluan khas.

Katanya, penyelidik memilih idea untuk mengembangkan inovasi itu bagi memenuhi keperluan pembelajaran di kalangan pelajar sekolah rendah kerana asas literasi bermula di peringkat sekolah rendah dan di peringkat itu pelajar yang mengalami kesukaran dalam mempelajari bahasa khususnya bahasa Inggeris, boleh dikesan.

“Program ini bertujuan memberi pelajar bantuan pembelajaran menggunakan kemajuan teknologi dalam pendidikan. Di sini, teknologi AR mudah alih melalui aplikasi android dilaksanakan untuk mengembangkan sistem pembelajaran konsep berasaskan simulasi pada perbendaharaan kata yang digunakan dalam buku teks.

“Ini akan membantu pelajar dengan memberi visual dan menggunakan perbendaharaan kata yang dipelajari ketika menjalankan aktiviti,” katanya.

Dr Ilyana berkata, program itui memfokuskan pada teknologi Mobile Augmented Reality (MAR) yang dikembangkan menggunakan platform Android untuk meningkatkan pembelajaran khususnys pelajar tahun 2 dan 3 sekolah rendah yang mempunyai masalah dalam pembelajaran literasi dan numerasi.

Katanya, kajian itu bertujuan mengubah senario dalam pembelajaran bahasa Inggeris terutamanya di kalangan pelajar berkeperluan khas atau pelajar berpencapaian rendah.

“Dengan penciptaan dan pelaksanaan bahan AR, ia akan dapat memperkayakan buku teks agar lebih interaktif dan dapat memudahkan proses pembelajaran pelajar ini dalam memahami perbendaharaan kata dan akhirnya dapat menggunakan kata-kata tersebut dalam pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini AR banyak digunakan dalam buku cerita kanak-kanak dan pembelajaran sains atau matematik, manakala dalam bidang bahasa, bahan AR memfokuskan kepada menghasilkan bahan bacaan yang lebih menyeronokkan tetapi inovasi siri Penjelajahan E-Bahasa 2020 itu bertujuan menghasilkan pengalaman pembelajaran interaktif apabila pelajar perlu menyelesaikan masalah melalui pemikiran kritis.

“Melalui siri Penjelajahan E-Bahasa 2020 ini, pelajar bukan sahaja dapat melihat perbendaharaan kata menjadi hidup tetapi juga dapat menggunakan dan meneroka perbendaharaan kata dalam pengalaman realiti maya,” katanya.

Selain Dr Ilyana, dua lagi ahli kumpulan itu ialah pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Dr Ramiza Darmi dan pensyarah kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Dr Lilliati Ismail.

Penyelidikan projek itu bermula 1 Februari 2018 dan tamat 30 April 2021. - UPM

WXETRA4~