| Universiti Putra Malaysia

iDEC anjur Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019

Oleh Nisa Khairina Amirudin

PUTRAJAYA, 1 Ogos – Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Persidangan Pentadbiran ICT Universiti 2019 (PPICT2019) di Hotel Marriot, Putrajaya.

Bertemakan “Memperkasa Kampus Pintar”, PPICT2019 adalah platform perkongsian santai pengalaman, hasil kajian dan amalan terbaik pengurusan kampus pintar, pameran penerokaan teknologi ICT serta perkongsian amalan teknologi kewangan dan persekitaran pintar oleh pentadbir institusi pengajian tinggi (IPT), industri serta agensi berkaitan.

Antara IPT dan agensi yang mengambil bahagian dalam sesi perkongsian santai inisiatif kampus pintar adalah UPM, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), King Fahd University of Petroleum and Minerals serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Persidangan dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2019 itu hasil kerjasama iDEC UPM dengan Majlis Pengarah-Pengarah ICT IPTA (MAPITA), Persatuan Pentadbir UPM (PPUPM), Kumpulan Penyelidik Database Technologies and Applications (DbTA), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Pejabat Bursar UPM serta Kementerian Pendidikan.

Ia dirasmikan oleh  Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau turut melancarkan Putra® Virtual ID (Putra®VID), iaitu kad pengenalan identiti pelajar secara maya yang merupakan inisiatif berasaskan persekitaran telefon pintar dan lawan web, yang menjadi asas kepada permulaan UPM ke arah pembangunan kampus pintar berteraskan Internet of Thing (IoT).

Amirudin berkata, kewujudan kampus pintar akan dapat membantu dan melengkapkan ekosistem kewujudan sebuah bandar pintar dan masyarakat pintar.

“Sudah pasti negeri pintar lahir daripada masyarakat dan bandar pintar. Pelaksanaan bandar pintar bukan sahaja memfokuskan kepada aspek teknologi, malah kepada aspek penggunaannya.

“Misalnya, masyarakat akan bergerak daripada kaedah pembayaran tunai kepada e-pembayaran dan daripada membeli tiket kepada penggunaan aplikasi,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. TS. Dr. M. Iqbal Saripan pula berkata, sebagai sebuah universiti yang bergerak ke arah kampus digital, pembelajaran di UPM bukan sahaja terhad di dalam kelas tetapi juga pembelajaran di luar kelas yang amat penting.

Antara inisiatif lain UPM ke arah usaha merealisasikan kampus pintar adalah Putra Future Classroom dengan sesi pembelajaran dan pengajaran yang berbantukan teknologi agar menjadi lebih kondusif dan menyeronokkan bagi pelajar dan warga kampus.

PPICT2019 juga adalah aktiviti tanggungjawab sosial korporat Putra Bakti UPM menerusi perkongsian ilmu bersama industri ICT dan pelbagai agensi. - UPM

SXEUAAs~