| Universiti Putra Malaysia

Ibu lumpuh menangis gembira anak yang menjaganya peroleh ijazah

Oleh Azman Zakaria
Foto Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 24 Okt - Seorang ibu, Nik Mah Nik Kob yang lumpuh dan berkerusi roda yang dijaga oleh anaknya, tidak dapat mengeluarkan kata-kata dan mengalirkan air mata kegembiraan melihat kejayaan anaknya itu Anis Ayuni Ismail menerima ijazah bachelor, hari ini.

Nik Mah, 62, amat terharu dengan kejayaan Anis Ayuni, dan mengalirkan air mata ketika ditemu bual dan ketika gambar mereka dirakam oleh jurugambar.

Anis Ayuni, 22, dari Kota Bharu, Kelantan menerima Bacelor Sains (Sains BioPerubatan) pada Majlis Konvokesyen ke-40 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

“Mak tak dapat menjawab soalan yang ditanya, tapi pastinya mak amat terharu dan gembira,” kata Anis Ayuni sambil mengesatkan air mata ibunya. 

Bermula dari tahun dua pengajiannya, Anis Ayuni tidak menetap di kolej sebaliknya tinggal di rumah kakaknya di Putrajaya untuk membolehkannya membantu menjaga ibunya.

Anis Ayuni berkata,ibunya dibawa menetap di rumah kakaknya itu kerana ramai adik beradiknya kini menetap di Lembah Klang yang memudahkan mereka melawat dan membantu ibu.

“Pada setiap pagi sebelum menghadiri kuliah, saya memandikan mak dan menyediakan makanan serta pakaiannya. Pada sebelah tengah hari jika ada kelapangan saya akan balik dan melihat mak, sebelum datang semula ke kuliah.

“Ibu uzur dan perlu diurus,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Nik Mah pertama kali diserang angin ahmar pada 2009 dan hampir pulih, sebelum diserang kali kedua pada 2014 yang menyebabkannya lumpuh dan bergerak hanya menggunakan kerusi roda yang ditolak oleh ahli keluarga. Suaminya, Ismail Jusoh meninggal pada 2006 di Kota Bharu akibat penyakit batuk kering (Tuberculosis).

 “Pernah saya rasa ‘down’ kerana terlalu keletihan akibat tiap hari berulang menghadiri kuliah. Ketika itu saya meluahkannya kepada kakak dan rakan-rakan yang memberi kata-kata semangat dan dorongan.

“Alhamdulillah saya dapat melaluinya… yang penting ialah pengurusan masa.

“Saya bersyukur memperoleh ijazah, ini juga hadiah untuk ibu yang mendoakan saya,” katanya sambil melahirkan penghargaan dan terima kasih UPM, ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa membantu dan memberi dorongan. - UPM


SXEXRA~