| Universiti Putra Malaysia

Hotel Place2Stay @The Mines KUPUTRA dilancar

Oleh Faiz Hamzah

Foto oleh Marina Ismail

 

SERDANG, 27 Nov – Hotel Place2Stay@The Mines milik penuh Koperasi Universiti Putra Malaysia Berhad (KUPUTRA), yang terletak berhadapan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, di sini, dirasmikan pelancarannya hari ini.

Hotel yang mesra OKU itu mempunyai kapasiti 28 bilik dan boleh ditempah dari harga RM50 hingga RM150 untuk satu malam. Ia dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md Ramli.

Ia  merupakan tempat penginapan yang sesuai bagi mereka yang ingin bermalam atas urusan tugasan kerja, mesyuarat dan urusan pembelajaran di institusi pengajian di sekitar Seri Kembangan, Serdang dan Putrajaya.

 

Antara kemudahan asas yang disediakan ialah lif, surau dan Wi-Fi percuma. Sistem pengangkutan awam seperti komuter, bas dan teksi yang terletak berhampiran dengan hotel turut memudahkan perhubungan dan pengangkutan untuk ke destinasi urusan masing-masing.

Ketika berucap pada majlis perasmian itu, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta berkata inisiatif KUPUTRA menceburi bidang perniagaan perhotelan mampu memberikan pulangan yang baik dalam suasana perniagaan masa kini.

“Pihak kementerian bersedia membantu koperasi kerana koperasi ini telah menunjukkan kesungguhan dalam memantapkan keusahawanannya dan telah mempunyai keahlian lebih 2,000 orang. Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris merakamkan syabas dan tahniah kepada KUPUTRA atas kejayaan memiliki jenama francais Hotel Place2Stay@The Mines.

Katanya, perniagaan mengendalikan Hotel Bajet boleh memberikan pulangan lumayan untuk koperasi, dan ia adalah satu daripada sektor pelancoangan yang diberi fokus dalam Dasar Koperasi Negara.

Hotel Place2Stay@The Mines telah mencapai Occupancy Rate 71% selepas satu tahun beroperasi.

“Sebagai aktiviti perniagaan yang baharu, pencapaian itu berpotensi untuk ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi UPM, Dr. Dasrilsyah Syahrial dan Naib Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Meriam Mat Nor. - UPM

WXEZGA~