Hospital UPM Bakal Beroperasi Tahun Hadapan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Hospital UPM bakal beroperasi tahun hadapan

Hospital UPM bakal beroperasi tahun hadapan

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

 

SERDANG, 19 Mac – Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) bakal beroperasi sepenuhnya pada Januari 2019, kata Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris.

Beliau berkata HPUPM dapat meningkatkan peluang untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D), dalam bidang perubatan.

“HPUPM akan memantapkan lagi peranan universiti dalam konteks kemasyarakatan melalui perkhidmatan yang akan diberikan selain memberi nilai tambah kepada universiti sebagai sebuah universiti pengeluar pakar perubatan terbaik,” katanya semasa merasmikan Hari Terbuka HPUPM di Panggung Percubaan, UPM di sini.

HPUPM yang akan dilengkapi 400 katil itu mula dibina pada 2014 di kawasan seluas 38.4 hektar bersebelahan Hospital Serdang, membabitkan kos RM600 juta. Ia kini menghampiri 60 peratus pembinaannya, dan apabila siap akan mempunyai 188 kakitangan dan 360 doktor pakar berkhidmat di situ.

Program Hari Terbuka HPUPM selama satu hari  itu yang julung kali diadakan bertujuan memperkenalkan HPUPM kepada umum membabitkan tujuh bidang kepakaran utama iaitu penjagaan strok, kecederaan sukan dan pembedahan atroskopi, kesihatan lelaki, zoonotiks, penjagaan geriatrik, penyakit kulit dan  imunologi, serta kanser .

Pengarah HPUPM, Dr. Muhammad Mohd Isa berkata antara yang diperkenalkan ialah pusat sehenti Unit Tindak Balas Pantas Strok Kecemasan Serantau (RESQ), HPUPM.

“Saya berharap program ini akan memberi impak positif kepada warga Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK) dan semua warga UPM sejajar dengan tema HPUPM Providing Extraordinary Care Together,” katanya.

Penubuhan RESQ bertujuan mengkaji dan merawat pesakit angin ahmar (strok) yang merupakan penyebab ketiga tertinggi kematian rakyat di negara ini.

Klinik Pakar Perubatan Keluarga pula bertujuan menampung jumlah bilangan pesakit zon hijau atau pesakit luar yang datang ke Hospital Serdang.

Pesakit zon hijau dikategorikan sebagai mereka yang mengalami demam, batuk, selesema dan penyakit bukan trauma, tetapi mendapatkan bantuan perubatan di unit kecemasan.

"HPUPM mengguna sama fasiliti dengan Hospital Serdang, antaranya jabatan kecemasan dan bilik mayat," katanya.

Hari Terbuka HPUPM itu turut mempamerkan perkhidmatan dan kepakaran FPSK UPM melalui poster, pameran pembedahan robotic, pemeriksaan tahap alahan, dan saringan kesihatan. Turut diadakan ialah sesi diet chit chat, kempen derma darah, forum penjagaan kesihatan wanita dan bidang sukan yang disampaikan oleh pakar pembedahan ortopedik dan pakar sakit puan UPM.

 

Tarikh Input: 09/04/2018 | Kemaskini: 09/04/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1542750172