| Universiti Putra Malaysia

‘Hindari rasuah, laksanakan tugas penuh integriti’

Oleh:  Noor Eszereen Juferi
Foto:  Norazreen Awang

SERDANG, 3 Mei – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mahu semua warga UPM untuk sentiasa melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan penuh integriti.

Katanya, mereka perlu menjauhkan diri daripada terlibat dengan unsur yang boleh membawa kepada salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam membasmi rasuah serta memartabatkan integriti di kalangan warga UPM, yang dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar, UPM.

Beliau mengetuai lafaz ikrar itu yang disertai Pegawai Kanan serta warga UPM. Ia disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Bahari Mohd Jamil.

 “Harapan saya dengan lafaz ikrar ini dapat membantu warga UPM untuk sentiasa beringat serta mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan dan menjauhkan diri dari terlibat dengan unsur yang boleh membawa kepada salah guna kuasa atau rasuah,” kata Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini.

Sementara itu, Majlis Gemilang Putra (MGP) dan Sambutan Hari Pekerja 2018 turut diadakan pada majlis tersebut.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata majlis itu akan menjadi pendorong serta motivasi kepada warga UPM untuk mengekalkan rentak kecemerlangan dan terus berusaha meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja.

“Dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 warga UPM perlu melakukan transformasi ke arah menjadi pekerja berkemahiran supaya output yang dihasilkan lebih berkualiti, serta menjimatkan masa dan kos,” katanya.

Majlis Gemilang Putra adalah majlis pengiktirafan universiti kepada staf yang cemerlang pada tahun 2017. Sebanyak lima kategori dianugerahkan termasuk Anugerah Jasamu Dikenang yang dianugerahkan kepada 12 pegawai yang meninggal dunia.

Anugerah Jasa Putra pula disampaikan kepada 149 pegawai yang telah bersara, Anugerah Setia Putra kepada 47 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 20 tahun, Anugerah Bakti Putra kepada 34 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 30 tahun, dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk 469 pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang pada 2017.

Bagi sambutan Hari Pekerja pula, sebanyak enam kategori dianugerahkan iaitu Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Akademik) yang diterima Prof. Dato’ Dr. Mohd Saleh Jaafar dan Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Bukan Akademik), Dr. Hanafiah Ayub.

Anugerah Tokoh Pekerja (Pelaksana), Rogayah Md Yasin; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Akademik), Prof.Dr. Mohd Ali Hassan; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Bukan Akademik), Norrzuan Yusof dan Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (Pelaksana), Nambirajan a/l K. Rajaratnam. - UPM

SXETJAT~