| Universiti Putra Malaysia

Hentikan penderaan kanak-kanak

SERDANG, 26 Jun – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sering mendengar berita kanak-kanak didera, dan media juga melaporkan pelbagai bentuk kes penderaan kanak-kanak termasuk dipukul, ditendang, diogol dan sehingga meragut nyawa.

Tindakan itu bagaikan barah kepada pendera untuk melepaskan nafsu amarah dan serakah.

Menurut forum kempen ‘Jaga Tepi Kain Orang: Jom Hentikan Penganiayaan dan Penderaan Kanak-Kanak!’ yang diadakan baru-baru ini, terdapat kenaikan 20 peratus kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak semenjak PKP.

Kempen itu dianjurkan mahasiswa kursus kokurikulum berkredit Pembangunan Kesukarelawanan Kumpulan 3, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Untuk Anak Kita (PUAK), Bahagian Kaunseling UPM, Kelab Rakan Siswa UPM, Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda KL, Pertubuhan Pusat Jagaan Rumah Amal Titian Baiti Al-Jannah, Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang, Cybersecurity Malaysia, dan Knockoutend Esport.

Kempen bertujuan menyediakan kehidupan yang lebih bermakna bagi kanak-kanak yang menjadi tempat melepaskan nafsu kemarahan serta nafsu serakah, dan pada masa yang sama memberi peluang untuk mereka hidup normal dan rasa dilindungi dalam masyarakat.

Ia juga bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof. Dr Zamberi Sekawi ketika merasmikannya berkata, program itu amat bertepatan bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat, di samping menunjukkan peranan institusi pengajian tinggi dalam aktiviti kesukarelawanan.

Panel E-Forum, Syed Azmi Alhabshi berkata, adalah penting untuk ahli masyarakat mempunyai pengetahuan dan kesedaran untuk membantu pihak berkuasa menangani isu penganiayaan dan penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, kira-kira 3,000 kes penderaan dilaporkan setiap tahun, dan 70 peratus pendera adalah mereka yang rapat dengan mangsa.

“Apa yang tercatat dalam statistik itu adalah laporan kes yang direkodkan dan 50 peratus daripada laporan pula menunjukkan kanak-kanak didera oleh ibu bapa sendiri dan pengasuh. Bayangkan, berapa pula jumlahnya kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Tindakan jiran atau orang sekeliling yang memilih untuk mendiamkan diri juga menjadi punca kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan pula berkata masyarakat perlu bangkit dan bertekad bahawa keselamatan dan kehidupan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua dan mereka perlu dibela sebagai penyambung warisan.

“Adalah penting untuk kita semua membuang sikap ‘menyepikan diri’, kerana adalah tanggungjawab semua untuk menjaga kesejahteraan kanak-kanak. Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan membesar sebagai insan berguna,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu takut untuk membuat laporan polis sekiranya mempunyai bukti dan asas yang kukuh berkaitan kes penderaan kanak-kanak kerana PDRM menjaga privasi pelapor kes. – UPM

SXEZPAP~