“Hayati Nilai Kesepunyaan UPM” | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » “Hayati nilai kesepunyaan UPM”

“Hayati nilai kesepunyaan UPM”

“Hanya dengan kesejahteraan, kita mampu bekerja, berkhidmat dan menyumbang kepada kemajuan UPM dengan lebih lestari”

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 23 Feb - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mahu seluruh warga universiti dan pihak berkepentingan menghayati nilai kesepunyaan UPM dan melihatnya dalam konteks kesejahteraan hidup, ke arah memastikan UPM terus cemerlang pada masa depan.

Katanya, nilai-nilai kesepunyaan itu - kecemerlangan, kepelbagaian, kelestarian, integriti, dan nilai murni - yang diamalkan akan menjadi panduan untuk bertindak dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan dalam kehidupan, seterusnya memberi impak terhadap kesejahteraan.

“Dalam usaha kita memacu kecemerlangan UPM, kita tidak seharusnya melupakan matlamat akhir, iaitu kesejahteraan. Kecemerlangan kita tidak akan sempurna tanpa kesejahteraan,” katanya ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2018 kepada warga UPM, di sini.

Justeru, katanya, tema perutusan kali ini ‘Ihsan dan Kesejahteraan Melangkaui 2025’ amat relevan kerana ia membawa mesej yang sangat jelas untuk mensejahterakan warga UPM dan masyarakat secara keseluruhannya.  

Ingatlah, hanya dengan kesejahteraan, kita mampu bekerja, berkhidmat dan menyumbang kepada kemajuan UPM dengan lebih lestari,” katanya.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini juga berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua warga UPM untuk bersama-sama menjayakan Pelan Transformasi UPM Melangkaui 2025 demi kelangsungan legasi kecemerlangan universiti.

Sehubungan itu, katanya,  maklum balas, idea, dan penambahbaikan dari semua warga universiti amat dialu-alukan.

Katanya, 2025 menjadi tahun getir kepada UPM kerana ia menjadi titik tolak kepada UPM untuk terus membina masa hadapan yang gemilang bersama cabaran semasa.

“Era melangkaui 2025 sangat kritikal kerana sumbangan UPM bukan sahaja bermakna dalam konteksnya sebagai taman ilmu dan pemikiran, tetapi turut mengisi tuntutan transformasi pembangunan negara menjelang 2050,” katanya.

Justeru, katanya, UPM perlu melakukan lonjakan transformasi governan melalui business model baharu yang lebih mandiri dan lestari.

Katanya, sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM menggalas amanah besar negara untuk memberi sumbangan melangkaui sempadan universiti bagi kesejahteraan masyarakat dan kepentingan negara.

Beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas sokongan berterusan terhadap UPM Kampus Bintulu (UPMKB) yang misinya adalah untuk menjadi pusat pendidikan tinggi wilayah yang penting yang memberi sumbangan kepada pembangunan persekitaran intelektual, sumber tenaga dan sosioekonomi Bintulu dan Sarawak.

Beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh atas kepercayaan melantik beliau sebagai Naib Canselor bagi tempoh dua tahun lagi.– UPM

Tarikh Input: 23/02/2018 | Kemaskini: 26/02/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1542062991