Haslida Hassan, Pegawai Pertama UPM Terima Pentauliahan CeIO | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Haslida Hassan, pegawai pertama UPM terima pentauliahan CeIO

Haslida Hassan, pegawai pertama UPM terima pentauliahan CeIO


Oleh Azman Zakaria

SERDANG, 14 April - Ketua Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haslida Hassan menerima pengiktirafan dan pentauliahan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) - ¬pegawai pertama dari UPM yang menerima pentauliahan berkenaan.

Beliau menerima pentauliahan itu setelah dengan jayanya menamatkan kursus CeIO yang diadakan pada Februari, Mac dan April lalu.

Pengiktirafan itu disempurnakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, pada Majlis Konvokesyen CeIO ke-5 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya bersyukur menerima pentauliahan ini dan menjadi orang pertama dari UPM menerimanya. Namun pada masa yang sama, saya sedar pengiktirafan ini datang bersama amanah dan tanggungjawab besar,” kata Haslida dalam temu bual, baru-baru ini.

Katanya, program pengukuhan integriti telah dijalankan di UPM sejak penubuhan Unit Integriti UPM pada Jun 2014 melalui program seperti ceramah, forum, lawatan kerja, dan pameran yang giat dijalankan bagi memupuk kesedaran warga UPM di kalangan staf dan juga pelajar.

“Saya berharap dalam tempoh lima tahun pertama akan dapat menyebar luaskan lagi nilai-nilai murni di kalangan staf dan pelajar. Walaupun ia telah ada, namun mungkin terdapat mereka yang kurang penghayatan.

“Harapan saya adalah untuk melahirkan warga UPM yang lebih beretika dan berintegriti dalam mencapai visi dan misi universiti selaras dengan Pelan Strategik UPM,” katanya.

Program CeIO adalah program latihan yang dilaksanakan di bawah pengendalian Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Agensi Pecegahan Rasuah Malaysia (MACA) untuk melahirkan CeIO bagi menjalankan tugas berkaitan integriti dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta.

Pegawai CeIO juga bertindak sebagai ejen perubahan dan pakar rujuk subjek integriti bagi organisasi, malah dapat menjadi pelengkap dalam usaha memperkasakan integriti iaitu memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Haslida berkata empat modul diikuti ketika kursus itu iaitu pengurusan integriti, perundangan dan peraturan, pematuhan dan pemantauan, serta pembentukan Pelan Integriti Organisasi.

Peserta juga perlu melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke arah menanam nilai-nilai integriti di kalangan masyarakat, katanya sambil menjelaskan bahawa beliau dan anggota kumpulannya memilih mengadakan program gotong royong kenduri rakyat yang dipanggil ‘gejobos’ di Kampung Parit Baru Pekan, Sabak Bernam. –UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284833