Hasil Kaligrafi Tamil Pensyarah UPM Diabadi Dalam Setem | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Hasil kaligrafi Tamil pensyarah UPM diabadi dalam setem

Hasil kaligrafi Tamil pensyarah UPM diabadi dalam setem

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 18 April- Bermula dengan mempelajari penulisan kaligrafi Rumi dan Jawi sebelum meneroka bidang kaligrafi Tamil, seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menempa nama dalam kaligrafi Tamil sehingga hasil kerja tangannya itu diabadikan dalam setem kenang-kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama oleh Pos Malaysia.

Kaligrafi Tamil yang dihasilkan pensyarah Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM , Velu Perumal, kali pertama diabadikan pada setem dan Sampul Surat Hari Pertama pada 28 Jun 2016, dan kali kedua pada 28 Mac 2017.

Hasil kaligrafi Tamil pada 2016 itu bertemakan ‘Nilai Murni’ dan diabadikan pada setem bernilai 70 sen. Dalam siri setem ‘Seni Khat Malaysia’ itu, kaligrafi Jawi membawa tema yang sama untuk setem 90 sen dan kaligrafi Cina untuk setem 80 sen dihasilkan oleh dua orang ahli kaligrafi lain. Setem bernilai RM5 pula menggabungkan ketiga-tiga hasil kaligrafi berkenaan.

Pada Mac lalu pula, hasil kaligrafi Tamil oleh Velu dengan tema ‘ucapan perayaan’  diabadikan dalam setem bernilai 80 sen, manakala kaligrafi Jawi dan kaligrafi Cina dihasilkan oleh dua orang ahli kaligrafi lain, masing-masing juga untuk setem bernilai 80 sen. Setem bernilai RM5 menggabungkan ketiga-tiga hasil kaligrafi itu.

“Minat saya terhadap kaligrafi bermula dari sekolah rendah. Ia dicetuskan oleh guru lukisan saya di Sekolah Kebangsaan Sungai Manggis, Banting, Cikgu Zamrud Said.

“Beliau merupakan sumber inspirasi yang mencungkil minat saya melukis dan berkarya dalam seni kaligrafi Rumi dan Jawi.

“Cikgu Zamrud juga membina keyakinan saya berkarya dengan memberi peluang menyertai pertandingan lukisan di peringkat daerah dan negeri,” kata Velu dalam temu bual.

Katanya, beliau tidak akan sesekali melupakan jasa Cikgu Zamrud.

“Ketika majlis pelancaran setem kaligrafi pada 26 Jun 2016, saya mendapat berita yang beliau meninggal dunia. Sebaik selesai majlis pelancaran pada tengah hari Jumaat itu, saya dengan membawa setem hasil kaligrafi saya itu terus ke majlis pengkebumian beliau di Pandamaran, Klang untuk memberi penghormatan,” katanya.

Mengimbau kembali detik sebelum hasil kaligrafi olehnya diabadikan untuk pertama kali dalam setem kenang-kenangan, Velu, 48, berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon awal tahun lalu daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh Pos Malaysia supaya menghantar biodata peribadi dan contoh hasil karya kaligrafi Tamil yang pernah dihasilkannya.

Ini diikuti permintaan syarikat itu supaya menghasilkan kaligrafi Tamil yang membawa maksud ‘Nilai Murni’  atau dalam bahasa Tamil ‘Nanneri Panbu.’ Beliau menggunakan imej pelepah kelapa yang diguna-pakai dalam pelbagai budaya Malaysia sebagai konsep penulisan kaligrafi itu.

“Ia adalah sebagai suatu usaha meraikan persamaan dalam kepelbagaian budaya melalui penghasilan setem kaligrafi Tamil pertama dalam sejarah Malaysia.  

“Saya mengambil masa lebih sebulan untuk menghasilkan tulisan kaligrafi itu,” katanya. Sebanyak 100,000 setem bernilai 70 sen dan 30,000 setem bernilai RM5 itu dikeluarkan oleh Pos Malaysia.

Katanya, pada awal tahun ini beliau sekali lagi menerima panggilan telefon bagi menghasilkan pula kaligrafi Tamil bertemakan ucapan perayaan, juga untuk diabadikan dalam setem kenang-kenangan.

“Saya rasa bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan karya kaligrafi Tamil. Bagaimanapun pada awalnya saya bagaikan tidak percaya kerana terdapat ramai pelukis India yang mampu berkaligrafi, namun pada masa yang sama saya merasakan ia satu kepercayaan besar dan perlu saya laksanakan sebaik mungkin,” katanya. 

Dengan perkataan 'Iniye Deepavali Vaalthukal' atau Selamat Hari Deepavali, beliau menghasilkan kaligrafi berasaskan tradisi lukisan lantai (Kolum) yang menjadi dekorasi asas sambutan perayaan Deepavali. Beliau mengambil masa dua minggu mencari idea dan menghasilkannya.

Sebanyak 80,000 setem bernilai 80 sen itu dikeluarkan oleh Pos Malaysia dan 30,000 setem untuk yang bernilai RM5.

Ketika pelancaran setem itu ramai pengumpul setem berbaris mendapatkan tandatangannya, yang menurut beliau menggambarkan hasil kerja itu diterima masyarakat umum. 

Velu berkata, penulisan kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil perlu diperkembangkan bagi mengelakkan penghasilan manuskrip yang melambangkan budaya itu hilang ditelan zaman. 

“Usaha Pos Malaysia ini memberi nafas baharu kepada kaligrafi, dan penulisan kaligrafi mendapat satu platform baharu dalam zaman moden ini,” katanya sambil turut  merakamkan penghargaan kepada warga FRSB terutama Prof. Madya Lar. Dr. Osman Mohd Tahir dan Prof Madya Dr. Nazlina Shaari yang banyak memberi dorongan dan sokongan kepadanya dalam mengharungi cabang baharu bidang seni ini.

Katanya, beliau sedang berusaha menghasilkan peraturan dan kaedah bentuk penulisan kaligrafi Tamil yang membabitkan semua 247 huruf Tamil agar boleh diguna pakai di seluruh dunia, terutamanya kerana penulisan kaligrafi Tamil ketika ini tidak begitu diketahui atau terkenal. - UPM

 

 

Kemaskini:: 30/04/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112784