| Universiti Putra Malaysia

Hab dalam talian perlu diwujud untuk negara Islam

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 23 Dis - Hab dalam talian dan pendekatan sistematik untuk disesuaikan dengan program yang berjaya dan model kerjasama, perlu diwujudkan ke arah meningkatkan profil dan standard sains dan tekhnologi di negara-negara Islam.

Ini adalah antara 11 perkara yang terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan pada akhir forum ‘Mustafa Science and Technology Exchange Program (STEP) in Islamic Countries’ di sini, yang juga dikenali sebagai ‘Malaysian Chapter: Nanoscience and Nanotechnology Development Forum.’

Program lima hari itu yang bermula 19 Disember dianjurkan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mustafa Science and Technology (MSTF).

STEP dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan pengwujudan hab dalam talian boleh menjadi platform bagi kerjasama sains dan teknologi yang membolehkan akses kepada amalan terbaik di kalangan negara Islam.

Ia juga menyatakan bahawa pendekatan sistematik yang disesuaikan dengan program yang berjaya dan model-model kerjasama dari negara lain perlu diwujdukan ke arah meningkatkan profil dan standard sains dan teknologi di kalangan negara Islam, dengan mengambil contoh mesyuarat LINDAU Nobel Laureate.

Perwakilan juga mencadangkan bahawa satu endowmen ditubuhkan untuk membiayai dana aktiviti yang melangkaui tahap daya saing sekarang seperti membiayai kerja awal luar biasa sarjana, penyelidikan produktif, dan inisiatif baharu khususnya untuk program penyelidikan berisiko tinggi.

Ia juga menyatakan bahawa untuk mengekalkan tahap tinggi penyelidikan, kos senggaraan peralatan kritikal dan sofistikated perlu diutamakan dalam bajet penyelidikan, manakala perkongsian infrastruktur dan pengetahuan teknikal perlu digalakkan.

Masalah skala gaji tidak seimbang bagi sarjana akademik juga perlu ditangani melalui  pampasan berasaskan prestasi.

Ia menyatakan bahawa jaminan kestabilan pekerjaan juga adalah isu kritikal yang perlu ditangani ke arah mencapai inovasi, penemuan baharu dan kreativiti.

STEP juga mencadangkan agar diwujudkan lembaga penasihat antarabangsa sains dan teknologi bagi MSTF untuk bertindak terhadap cadangan yang dikemukakan serta isu-isu yang berkaitan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris ketika merasmikan forum itu berkata, penyelidik di dalam dan luar negara perlu terus menjalin kerjasama erat untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan seluruh manusia,

Katanya, mereka perlu mewujudkan rangkaian yang kukuh dan sealiran, sekali gus menjadikan proses globalisasi yang dilalui sekarang menjadi sesuatu yang lebih positif.

Lebih 200 peserta dari 12 negara dan kira-kira 30 saintis terkenal dari negara Islam  dalam bidang nanosains dan nanoteknologi termasuk Profesor Omar Yaghi dari  Jordan dan Profesor Jackie Ying dari Singapura yang merupakan pemenang laureates edisi pertama Mustafa Prize tahun 2015, menghadiri forum itu. – UPM

 


SXDdHAW~